Pergunungan Sampah


            Di penghujung tahun 90-an.

Kami berteduh di dalam satu pondok buruk. Mentari tercacak tepat di atas kepala, bau-bau pelbagai aroma meruap ke udara. Air-air takungan yang sarat dan likat tenang berjemur disejat ke langit. Bahang sekali.

Dari hujung jalan, abuk-abuk kemerahan menderas berkepul-kepul di udara. Sebuah lori hijau laju terhenjut-henjut dek batu kelikir yang kasar, semakin menampakkan dirinya.

“Pak, lori sampah dah datang!” jerit saya.

Bapak membuang puntung rokoknya dan memperkemaskan topi, “kutip tin-tin, besi dengan plastik ya. Kita nak jual harini. Buku-buku, pensil semua amik, boleh guna naik sekolah nanti. Pakai topi, panas sangat ni”.

Abang Sani dan Pandi pun mengemaskan kain penutup mulut bersiap sedia meredah gunung-gunang sampah-sarap. Bukan kami sahaja, beberapa pakcik lain segera turun mengerumuni lori sampah yang sedang memuntahkan isi perutnya.

Masing-masing laju beraksi, pantas tangan bekerja. Plastik-plastik sampah dikoyak dengan pencucuh, diselongkar segala isi. Saya tak kalah juga, walaupun kecil dan terkadang tenggelam timbul menguis, saya mengumpul barang-barang pesanan bapak, mata dan tangan meliar mencari sesuatu untuk diri sendiri juga.

Setelah puas mencari dan melontar barang berguna keluar, kami segera melakukan pengasingan. Mana-mana barang yang perlu dibawa pulang akan disisihkan ke sisi motorsikal, besi serta tin dicampak ke arah longgokan yang menimbun sejak berminggu-minggu di tepi pondok.

Tak lama kemudian, taukeh ‘besi buruk’ datang melabuhkan lori mendekati longgokan. Tin-tin buruk yang menggunung semakin susut jumlahnya, kami memunggah semuanya ke dalam lori. Tinggallah tanah yang becak, bau karat yang pekat, dan air takungan yang menguning.

Saya terseyum puas menerima sedikit upah dari bapak. Kami berangkat pulang. Saya memang suka turut serta dalam kerja kasar ini hasil ajakan bapak untuk membantu, kononya saya suka kerja-kerja lelaki.

 “Nilam! Pergilah mandi dulu, bau busuk satu rumah! Ni bapak jumpa kalender tadi. Banyak gambar cantik-cantik. Ni kamus ni, dah koyak tapi boleh pakai lagi ni. Buku-buku sekolah pun ada,” tegur bapak sambil menumpahkan isi karung guni lagi.

“Banyaknya!!!”, saya menjerit kecil.

Memang buku-buku langsung diserahkan kepada saya, anak ini saja berminat dengan buku. Anak lain pula berbeza minat, ada yang sukakan pakaian, barang tukar ganti basikal, mainan, barangan sekolah, makanan dan lain-lain.

Saya terpesona dengan kalander yang memaparkan foto-foto bangunan yang magis, panorama berwarna-warni, tak pernah terlihat oleh saya. Saya menapis mana-mana muka surat majalah yang perlu, lalu dikoyakkan supaya boleh saya berikan bakinya kepada bapak untuk dijual kembali.

Memang cuti hujung tahun yang dinantikan sedang berpesta ria. Banyak syarikat di Pontian akan membuang banyak kalender dan majalah. Kalender di hujung tahun pasti tidak akan berguna lagi untuk tahun berikutnya.

Manakala orang-orang di bandar pun akan mengemas barang sekolah anak-anak untuk digantikan dengan yang baru. Bapak juga kerap jumpa pelbagai jenis alat-alat tulis. Allah menggerakkan kudrat bapak untuk memenuhi keperluan sekolah anak dalam cara yang unik sebegini sekali.

Buku-buku geografi dan peta pun antara buku yang bapak temui telah membuka mata saya bagaimana melihat wajah dunia. Saya melihat betapa kecilnya tanah negara saya; Malaysia berbanding seluruh muka bumi amnya. Pelbagai lautan luas terbentang mengatasi keluasan daratan, dan mengelilingi beratus buah negara.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari demi hari, cuti saya semakin berakhir, buku-buku dengan genre, saiz, bahasa yang pelbagai pula semakin menggunung tinggi. Ada juga buku resepi, buku-buku berkisar tentang tamadun dan sejarah, buku tanaman dan macam-macam lagi.

Cuma rak buku sahaja belum ada, pada satu sudut rumah, buku-buku yang ada cuma disusun setingkat dua di atas lantai bersandarkan dinding kayu rumah sahaja.

Beralaskan lantai simen yang sejuk, dan berbumbungkan atap nipah, saya berbaring di ruang ini, teruja membelek satu muka demi satu muka surat perlahan-lahan. Walaupun ada bahasa buku yang sukar saya fahami, saya sangat gembira memilikinya, satu masa nanti saya akan mengerti juga apakah disebalik wajah-wajah setiap helai kertas yang ada ini.  

Tabungan duit saya juga mendadak tambah. Saya dan adik sibuk memanfaatkan cuti sekolah dengan mengikuti bapak bekerja di merata kebun-kebun milik orang lain.

Sekembali dari kerja dan usai mandi, saya akan terleka lagi di sudut itu menggunting-gunting majalah dan kalender hingga foto-foto memenuhi beberapa kotak kasut. Ada foto-foto memberi gambaran suasana musim salju dan musim lain, ada foto mempamerkan bangunan keajaiban dunia.

Suatu hari, bapak memberikan dua bingkai iklan rokok selebar depa tangan saya tika itu. Foto-foto yang ada saya atur dan tampal kemudian membalutnya dengan selembar plastik pembalut buku. Saya gantung bingkai gambar ini di dinding kayu rumah. Melalui sebuah pameran foto ini, dapatlah rumah melihat dunia, dunia telah datang bertandang menjadi tetamu.

Foto ‘Blue Mosque, Istanbul, Turki’ paling saya gemar sekali. Saya terpesona dengan keindahan senibina bangunannya yang kelabu tapi dipanggil sebagai ‘masjid biru’. Masjidnya tinggi sekali, kubah-kubah yang bertahta begitu indah diatur secaara bertingkat-tingkat, kagum sekali.

 “Nanti dah besar, aku nak beli kamera. Tangkap gambar sendiri. Pergi jalan-jalan tengok tempat cantik-cantik macam gambar-gambar ni semua,” saya melakar impian.



----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

            Pada tahun 2017, saya mengeluarkan semua buku yang sudah terlalu lama terpendam diam dalam kotak-kotak di bawah meja. Pada sebuah rak yang saya bangunkan dari papan-papan terpakai beralaskan batu-bata bapak, saya mengatur kemas semua buku dari masa lalu, termasuk buku-buku travelog kesayangan dengan azam dapatlah juga saya menulis karya-karya begini.

            Bapak saya tak seperti bapak orang lain, itu yang saya rasa sejak dari kecil lagi. Pujian dan pujukkannya sangat mahal sukar dibeli dengan senyuman dan kegembiraan kami, dan marah serta herdiknya pula begitu murah sekali. Kata-kata bapak semuanya berunsur arahan, tiada kasih sayang mengalir. Entah di mana letaknya kehormatan, kerana telah hilang tenggelam dalam ketakutan sehari-hari hidup kami 13 beradik.

Hal ini semua menjadikan kami semua dekat sekali dengan pelukan emak. Semua urusan kami rujuk kepada emak, dan emak menyelesaikan segala macam hal dari kewangan, kerohanian dan pendidikan.

            Setelah besar dewasa kami mengerti dan bersyukur, dalam aturan Tuhan, semua kelakuan bapak telah menjadikan kami manusia sebenarnya. Dulu mungkin saya malu menceritakan kenang-kenangan saya kepada kawan-kawan.

            Kamus, peta dunia dan foto-foto yang bapak dapatkan dari gunung sampai di ceruk dunia telah menjadikan saya seorang jurugambar, mencatit nota-nota di sepanjang perjalanan dan pengembaraan merentasi banyak negara orang. Kini, saya dapat menyelitkan buku travelog hasil penulisan sendiri di dalam rak buku di rumah.  Terima kasih bapak.

Buku Nilam

 

Loceng rehat SK Seri Anom berdering kencang. Saya membawa sebatang pensil, sebiji pemadam comot dan sebuah buku contengan menuju ke perpustakaan. Langkah saya terhenti-henti melawan arus murid lain yang berpusu-pusu menuju ke arah kantin.

Seperti biasa, saya duduk bersila di samping rak buku kisah dongeng dan buku kanak-kanak berbahasa Inggeris. Saya akan terleka meniru dan menulis huruf-huruf klasik yang begitu unik dari buku-buku itu semua.

Satu hari, sedang mata saya menjamah buku-buku dari satu rak ke sebuah rak yang unik dalam keseragaman; saya tertarik apabila menemukan buku-buku tebal yang hari itu juga baru saya tahu rupa-rupanya ia kamus.

Entah mengapa selama ini saya tidak tahu akan kewujudan kamus dwibahasa di perpustakaan. Malu pula memikirkan dek terlalu kerap meminjam kamus daripada kawan-kawan semasa masing-masing juga memerlukan kamus pada masa yang sama. Selama ini, tercengang sahajalah tika bila tiada kamus boleh dirujuk. Bagi saya memang sangat mahal harga sebuah kamus kalau dibeli dari kedai buku di luar.

“Kau kena buat kad pustakaan kalau nak pinjam”, jelas rakan sekelas.

“Boleh pinjam berapa lama ni?”.

“Seminggu je. Lepas tu ko nak sambung pinjam kena cop kad lagi. Kalau lewat sehari denda satu hari 20 sen tau.”

Sambil berjalan keluar menuju ke kelas, semangat betul saya menyelak helai-helai kamus itu tanpa menghirau deringan loceng. Sangat seronok dan teruja.

Saya  berfikir sendiri, ‘kalau aku terlambat pulangkan ni, habis aku kena denda. Sehari 20 sen. Banyak tu. Duit kocek sehari 50 sen je. Kena pulang pastu pinjam balik ni’.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Seminggu kemudian.

 “Semua berdiri! Dah Tahun 5, takkan tak beli kamus lagi. Setiap orang mesti ada satu kamus. Faham tidak?” Suara nyaring Cikgu Aida mendesingkan telinga.

Cikgu Aida terlihat panas hati. Ramai anak muridnya tidak dapat menjawab maksud-maksud perkataan yang ditulis olehnya pada papan hitam.

“Keluarkan kamus sekarang! Kalau dah pandai bahasa Inggeris lain cerita.”

Masing-masing sibuk menyelongkar beg, mencari-cari kamus yang ada atau sememangnya tidak wujud. Saya cepat-cepat mengoyakkan laman pertama Kamus Dwibahasa Oxford Fajar dengan laju. Lalu cepat-cepat saya buang ke dalam tong sampah tak jauh dari kerusi saya.

Seorang dua kawan-kawan telah didenda dengan sebatan rotan di tangan. Mereka yang bersalah menunduk saja kerana ketakutan.

“Siapa tak ada kamus, boleh pergi pinjam di perpustakaan. Cuma saya nak pesan sikit. Baru-baru ni Cikgu Alipuddin ada beritahusaya, banyak kamus perpustakaan dah hilang. Ramai murid buat pinjaman kamus tapi tak pulangkan semula kamus.”

Menggeletar lutut saya tak tertahan bila tiba giliran saya.

“Ini kamus awak?”

Saya menunduk takut.

“Saya tanya, ini kamus awak?” tanya Cikgu Aida pada nada yang lebih keras, tangannya menyelak kasar kamus itu.

Teragak-agak saya menjawab, “Ya, cikgu”.

“Betul ini kamus awak? Awak jangan tipu saya. Kenapa ada kesan koyak ni?”

Saya terus menunduk.

Seorang murid lelaki yang terkenal nakalnya berlari ke tong sampah. Sampah dikuak-kuah hingga segumpal kertas dijumpai lalu dia leraikan gumpalan.

“Ini cikgu. Tadi saya nampak dia koyakkan kamus ni. Ada cop pustakaan!”

Mata cikgu menerkam mata saya. “Kenapa awak tipu saya? Betulkan ni kamus dari perpustakaan? Kenapa awak tak pulangkan?”

“Saya takut cikgu. Saya tak ada kamus.”

Sebatan rotan mengena tangan saya. Dua kali. Sedaya-upaya saya cuba menguatkan hati, menahan dan kalau boleh tak mahu menangis.

“Adik-beradik awak tak ada kamus? Dekat rumah awak tak ada langsung?”

“Tak ada, cikgu.”

“Ikut saya ke bilik guru sekarang”.

Jantung saya berdegup lebih kencang lagi sewaktu beredar keluar kelas. Di bilik guru, mata-mata guru lain pula menyambut saya aneh. Sayaterpaku di hujung meja guru sahaja.

“Kenapa Aida?” tanya salah seorang guru perempuan.

“Pelajar Aida ni kak, tak ada kamus. Aida nak bagi kamus lama Aida. Rasanya ada dalam laci ni kalau tak silap.”.

Sebuah kamus dihulurkan kepada saya.

“Ini kamus awak, cikgu bagi. Mujur ada kamus lama ni, tapi masih boleh pakai. Jangan ulang lagi apa yang terjadi,” nasihat Cikgu Aida.

“Terima kasih cikgu. Saya minta maaf”.

Sebenarnya, saya merasa keliru dan takut untuk mengakui bahawa saya tidak memiliki kamus. Sementelah pula nak memberitahu Cikgu Aida yang saya sudah terlewat untuk memulangkan kamus ke perpustakaan. Kedua-dua pengakuan akan menyebabkan saya didenda dengan dirotan tangan dua kali bernading kawan-kawan lain. Rasa sangat memalukan. Saya lebih memilih untuk mengoyakkan kamus itu sebagai satu helah untuk terhindar daripada label ‘pencuri’.

Kejujuran memang pahit, namun akhirnya ia membenihkan keberanian dalam diri.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sekitar setahun kemudian. Hari Anugerah 2000 adalah acara tahunan yang kami 5 beradik begitu tertunggu-tunggu pun tiba. Ianya hari untuk membanggakan emak kami.

Guru-guru Sekolah Seri Anom bagi saya sentiasa berusaha menyediakan hadiah yang terbaik buat anak-anak murid atas usaha masing-masing. Banyak sekali hadiah tersusun kemas bersebelahan pentas. Bagi penerima anugerah, kami diminta untuk beratur panjang dalam satu barisan di kaki lima dewan. Pelajar yang perlu naik ke pentas berulang kali, akan segera mencelah ke giliran yang sepatutnya, sibuk sekali cikgu mengatur kami.

Pada giliran kelima kali saya mengambil anugerah, nama saya diumumkan.

“Penerima Anugerah NILAM  Tahap Dua, Nilam binti Ahmad”.

Para hadirin di dalam dewan ketawa riang mendengarnya, kerana mungkin nama anugerahnya sama dengan nama saya. Saya tersipu-sipu malu.

Seingat saya tidaklah saya mencatit banyak rumusan di dalam buku Nilam. Cuma sehelai dua kalau tidak silap.

Sejak peristiwa kamus itu, saya tidak berani lagi meminjam buku. Namun, sudah menjadi kebiasaan untuk saya tetap hadir ke perpustakaan setiap hari. Saya akan mengambil ruang peribadi bersandar pada rak-rak buku lalu membaca buku cerita, membelek buku teknologi ringkas dan juga melihat-lihat buku bergambar sehingga loceng berbunyi kencang.



Sering saya merasa tidak begitu gembira di kelas. Terasa dipinggir kerana faktor kemiskinan dan tidak pandai bergaul mungkin. Sekolah hanya tempat saya berdiam diri dan belajar. Di rumah pula tidak ada bekalan elektrik. Maka rak-rak buku di sekolah adalah siaran-siaran televisyen untuk saya manfaatkan.

Namun yang pasti, rumah adalah taman kehidupan saya. Tempat saya bermain dengan sahabat-sahabat. Mereka itu adalah adik-beradik saya. 13 orang semuanya. Menjadi aktiviti harian kami mengikut bapak ke kebun sayur setiap petang. Di situlah tempat kami meneroka banyak benda dan ide baru. Bahagia sekali.

Travelog Turki #1: Masjid Biru

 



Menara kanan Masjid Biru sedang sakit, lagi ditopang dek besi-besi

-Oktober 2014

 

-Husna, saya mahu ke Masjid Biru. Bawak diri jap.

+Okay, hati-hati.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Stesen Yusufpasha saya tinggalkan. 5 ke 6 stesen tramvay menyapa, maafkan saya walau kalian terbuka menerima saya, Sultanahmet menjadi pilihan kali ini. Mahu menyapa Sang Masjid Biru, titik fitrah kedatangan saya di bumi Istanbul ini dahulu. Husna tidak menemani, dia pun tidak mengetahui untuk tujuan apa saya ke dalam dakapan Masjid Biru. Cuma si macho-nya jadi teman bisu, Nikon D90.

Saya berjalan dengan hati yang sarat dengan kesedihan dan perasaan bersalah. Sedih, tidak pulang bersama tetamu menerobos awan gemawan petang tadi. Walaupun sudah tahu, itu bukan waktunya untuk kembali. Mencintai kerjaya saya kini sebagai ‘fixer’ terkadang punya jiwa juga ingin kembali pulang. Tidak mahu bersendirian. Walhal, ada ramai juga teman-teman Melayu di sini, terasa seperti ditinggalkan teman-teman Melayu, padahal mereka adalah tetamu. Yang mendatangi dan meninggalkan saya.

Mula merindui personaliti para tetamu, keramahan mereka, susah senang bersama mereka, ragam-ragam Melayu dan keinginan Melayu. Pasti mencari nasi di negara orang.Sambal atau menu berperasa sedikit pedas.Umumnya kau merindui tetamu, tapi khususnya kau merindui kampung halaman kan, Bintang?

Kedua kerana perasaan bersalah yang berat. Saya mengheret perasaan itu hingga ke anjung Masjid Biru. Kebosanan sedang sesuka hati beraja dalam jiwa saya. Saya berazam mahu singkirkannya, tapi belum sekental mana pun azam. Bersalah kepada semua tetamu, merasakan tidak adil dalam melayani mereka sebagai tetamu. Mungkin secara fizikalnya, ia tidak kelihatan pada tubuh saya, kerana cuba sekali saya sembunyikan. Menyembunyikan sesuatu yang telah lemah di dalam ini.

….istanbul adalah ibu kota pemerintahan Uthmaniyyah setelah Edirne dan Bursa…dahulunya adalah Constantinopal. Sultan Muhammad Al Fateh telah membuka kota ini… itulah kubah Hagia Sophia yang mempengaruhi konsep kubah dalam dunia senibina islam… kita perlu memasukinya untuk mengetahui lebih lanjut… Eyub adalah daerah terawal yang dibangunkan oleh kerajaan islam… trip Bosphorus ini akan bermula dari jeti Eminonu ini dan berakhir juga di sini, sekitar 1.5 jam sahaja masa diambil..

Isi-isi sejarah dan ayat-ayat yang hampir sama saya lontarkan, dipukul sama rata untuk semua tetamu saya pada kebanyakkan tempat lawatan. Sudah diset di benak kepala saya. Pengulangan yang telah saya hafali dan kemudian diperceritakan kepada tetamu. Oh begini dan begitu. Begitulah sejarahnya ini dan sejarahnya itu.Pengulangan rutin berlaku hingga satu batu kesedaran terlastik mengena kepala. Engkau tidak mengembangkan apapun dalam diri engkau, cuma pada nokhtah yang sama. Bintang yang sama.

Semisalnya, memasuki Hagia Sophia itu sudah diperhitungkan sekitar 3 atau 4 kali begitu, sejujurnya saya tidak mahu mengakuinya sebagai rasa bosan, bosanyang telah mendakap dan mencengkap tubuh ini. Jauh di lubuk hati, saya merasakan bahawa saya kehilangan sesuatu, keterujaan! Bagaimana saya mahu menghadirkan perasaan teruja seperti yang dimiliki oleh para tamu? Keterujaan yang saya miliki ketika pertama kali menjadi tetamu Hagia Sophia itu? Keterujaan yang sebegitu, saya mengulanginya pada setiap kali bersama tetamu yang bersilih ganti. Pada tiket yang bersilih ganti saya beli. Pada mimbar yang bersilih ganti saya sapa setiap kali bertandang menjadi tetamu.

Keterujaan, datanglah. Semangat bekerja saya sedang merudum jatuh. Terhempas. Berderai ke lantai anjung Masjid Biru. Lihat bahagian tertinggi masjid ini, menaranya yang enam itu. Tiba-tiba, salah satu menara terhempas ke lantai Izniknya. Bertebaran batu-batu ke banyak belahan mozek gergasinya.Berderai seperti semangatku. Terletak sudah di puncak tertinggi, namun kerana kekentalan jiwanya tak bertahan lalu rebah. 

Saya duduk berteleku di anjung masjid. Berbumbungkan langit hitam. Menara-menara masjid jadi tiangnya. Saya selesa duduk di luar, memandang keindahan dewan solat utama dari luaran. Si Biru pun senyum, sedang bahagia menyambut tetamu beribadah di dalamnya dan menghantar senyum kepada mereka yang mahu beredar pergi. Sedikit dingin. Kalau memasuki dewan solat pasti lebih sejuk. Magik. Memasuki sistem masjid itu ternyata merasa panas di dalam ketika dingin di luar berhimpit-himpit ingin menembusi dinding masjid, dan merasa dingin, ketika keluh kesah kepanasan menangis ditinggalkan di luar masjid kerana langit tak berawan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

-Assalamualaikum. Bintang, apakah kamu tidak kedinginan di anjung ini? Apa tidak mahu bertandang ke dalam masjidku?

+Waalaikumsalam w.r.t. Maafkan hamba, tuanku. Bukan hamba tidak sudi bertandang ke dalam, cuma hamba selesa berada di luar ini sebentar. Tidak enak rasanya, bertamu ke dalam dengan wajah berduka hamba sebegini. Cukuplah sekadar di anjung. Patutlah Si Biru tersenyum manis sekali malam ini, tuanku berada di dalam rupanya.

-Bintang, tidak usahlah ber’hamba’ dan ber’tuanku’ denganku. Aku dan engkau adalah hamba kepada Allah. Ini rumah Allah, walaupun nama masjid ini dinamai sempena namaku Sultan Ahmad, aku lebih selesa ber’kau’ dan ber’aku’ denganmu. Lagipun engkau adalah sahabatku, dan kita bukan berada dalam urusan rasmi di Istana Topkapi kan? Apa yang engkau lakukan di sini dengan wajahmu yang tidak berkedipan seperti bintang-bintang di langit malam ini.

+Ahmad, aku cuma bintang di bumi. Boleh malap dan terang pada sekian dan sekian waktu.

-Aku tidak menyoal tentang itu, Bintang.  itu cuma kata-kata orang yang sedang sakit dari dalam. Aku tanyakan jiwamu itu, aku yang waras ini duduk di sisimu akan cuba memberi nasihat andai ia boleh membantu melunturkan kekusaman pada wajah kau. Ayuh Bintang, persilakan berkongsi denganku.Aku sudi mendengarkannya.

+Aku malu mahu menceritakannya kepada engkau, duhai sahabatku. Kalau perihal engkau sendiri pun aku sudah tidak bersemangat untuk dikongsikan dengan para tetamu. Fakta demi fakta yang sama aku ulangi saban hari. Aku tidak mahu kebosanan melanda jiwaku, aku mahu keterujaan dulu yang aku miliki tersemat setia di jiwaku.Ingatkan pertama kali dulu aku datang ke negeri ini, engkau menyambutku di masjidmu ini.Engkau lihatkan keterujaan ketika itu, apa ada kini di wajahku? Aku tidak mampu membawa keterujaan itu lagi bersamaku ketika aku mengiringi para tetamu ke seluruh pelosok kota Istanbulmu ini. Berkali-kali aku hadir ke masjid ini, bercerita perihal yang sama, setiap hari begitu. Sama setiap tetamu.Sama hingga aku tak temui semangat pada perkejaan yang aku cintai ini.

-Bintang, jadi engkau pun bosan bertemu ku di sini?

+Tidak begitu Ahmad, aku berbahagia bertemu. Tidak semua orang boleh bertemumu, apatah lagi duduk berdua begini, duhai sultan.

-Aku ingin sekali tahu seperti apa perihalku, yang kongsikan kepada para tetamu yang bertandang ke negeriku ini. Bintang, apa yang membuat engkau datang ke pangkuan masjidku khususnya dan bertandang ke daulahku ini amnya. Ceritakannya kepadaku.

+Rasa ingin tahu yang dalam, ia cita-citaku sejak kecil lagi untuk bermusafir ke daulahmu. Masjid ini. Masjid ini memesona indera mata dan hatiku, tertulis di sebuah foto, “Masjid Biru, Istanbul”. Ia salah satu antara foto-foto permandangan yang aku kutip tika menemani bapakku mengumpul barang-barang buangan untuk dikitar semula. Girang memotong dan menampal ke dalam buku mahupun bingkai besar. Waktu kemuncak kegembiraan bagiku adalah bulan November dan Disember. Masyarakat bandar pasti menggantikan peralatan sekolah anak-anaknya dengan yang baru, dan pejabat-pejabat metropolitan pasti membuah semua kalendar-kalender setelah tahun berganti yang baru. Lumayan banyak tangkapan foto-foto aku gunting, kumpul dalam satu kotak.Bapakku pernah menghadiahkan bingkai besar yang dia temui dalam longgokan sampah sarap, aku sematkan foto-foto landskap dan panorama itu di dalamnya.Tergantung indah dan kemas di dinding kayu rumah kami. Dari memori dan koleksi itu, aku menemukan cita-cita pengembaraanku dan fotografiku.

-Sebenarnya, kau telah menemukan jawapannya. Lihat, muka engkau berubah, ceria.Nada gembira terlihat semasa bercerita kepadaku.Begitulah sehrusnya wajahmu ditampilkan kepada para tetamu.Seceria juga penceritaan itu.Kenangan itu cuma berlaku sekali kan? Benar mustahil bagi kau untuk memenukan perasaan yang sama, ia datang cuma sekali. Tetapi, bersama-sama tetamu dan meraikan mereka juga bakal menjadi kepingan-kepingan memori baru sebenarnya, cuma engkau perlu hadirkan ikhlas, ikhlas yang tidak memudar. Maka perbaiki niat dan ikhlas itu, siram dengan warna-warni semangatmu. Memulai kerjaanmu dengan hal ini setiap pagi, sematkan bahawa kerjaanmu ini lillahi Taala.

+Benar itu, keiklasan ini tidak aku telitikan lagi. Aku fikir mengejar impianku itu sudah cukup, Ahmad.

-Tidak cukup kan sekadar di sini? Merencana datang ke Istanbul, kemudian apa? Adakah impianmu cuma itu, Bintang? Apalagi? Apa cukup, sekadar untuk dirimu? Impianmu itu indah, tapi ia akan malap kalau cuma untuk diri engkau sendiri. Ia boleh bergelermapan seperti namamu, Bintang, jika engkau lakukannya untuk ummah. Ahah, sibuk bersama tetamu hingga tidak datang usrah bersamaku? Patutlah sudah lama tidak melihat engkau bermalam di madrasahku. Jangan-jangan engkau sudah lupa, kompleksku ini terkandung madrasah di dalamnya ya? Hehehe. Bintang, kita kan rantai perjuangan, kita juga adalah penggerak ummah. Memberilah kepada ummahmu di dunia, hakikatnya untukmu di akhirat nanti.Dalam kondisi engkau ini, aku nasihatkan engkau membuat persediaan, persediaan yang akan membuatkan diri engkau turut teruja untuk berkongsi bersama tetamu. Engkau akan bersemangat menziarahi banyak tempat, kerana persediaan itu akan membuat engkau ingin tahu lagi dan lagi. Bosan akan menjauh tertepis oleh engkau yang baru.

+Faham.

-Jadi, gilap dirimu. Semakin hari semakin bersinar. Menyinari orang lain juga. Lakukan pembacaan. Tambah lagi pengetahuan kau dan raikan kegembiraan tetamu. Misalnya, bezakan diri engkau dengan ‘trip organizer’ yang lain. Aku tidak mahu para tetamu itu datang ke masjidku, cuma mengetahui maklumat asas tanpa memahami. Pulang tanpa apa-apa, sekadar fakta. Masjid ini dinamai sempena nama Sultan Ahmed I dan siap terbina pada tahun 1616. Juga dikenali sebagai masjid biru kerana kebiruan dinding-dinding dewan solatnya.Sekitar 20 ribu lebih kepingan jubin dengan pelbagai corak. Kubah utama ini bersaiz sekian dan sekian.Ia disokong oleh 4 tiang gergasi ini. Lihat, di bahagian kanan masjid, itu tempat khusus kepada bilal untuk melaungkan azan, ada mimbar di hadapannya, tinggi sekali. Beginilah gambaran kepada masjid Uthmaniyyah yang lain. Yang membezakan masjid ini dengan masjid yang lain adalah 6 menaranya. Inilah salah satu senibina masjid Uthmaniyyah yang terkenal hingga menjadi mercu tadi bagi Turki di mata dunia…. Sama dan sama, setiap hari. Mereka boleh mendapatkan maklumat itu semua dengan membacanya dari buku-buku fakta dan buku-buku rujukan perlamcongan.Bagiku, engkau akan jadi berbeza dan tepatnya pada kata memberi dengan berkongsi cerita disebalik semua fakta itu. Benar tiada fakta makanya tiadalah penerangan bukan?

+Bagaiamana maksudmu, Ahmad?

-Begini, kita bukan memberitahu pada erti ‘memberitahu’, tetapi memberitahu pada erti ‘menjual’. Memberitahu itu cuma mendaratkan maklumat di kepala-kepala. Cuma di situ, diam dan akan hilang. Menjual itu, terserap hingga benak kepala, terbawa dalam fikiran hingga terbenam dan tumbuh segar menjadi buah fikir dan buah zikir. Misalnya begini, aku memberikan contoh untukmu Bintang.…. dunia senibina Islam membawa masuk konsep senibina kubah dari Hagia Sophia yakni senibina Rom, kerana rekabentuk kubah adalah sangat baik dalam pengawalan lantunan bunyi. Suara imam yang memimpin solat, sorang perbualan kita, kalimat-kalimat zikir dari para ahli ibadah, dan sesi tilawah Quran di hujung masjid semua tidak bercampur aduk dan bergema di seluruh sudut masjid ini kan? Itulah keajaiban rekabentuk kubah. Namun Islam, tidak mengambil konsep oleh bukan Islam semudah itu, pasti diambil setelah pertimbangan ke atas banyak hal terlaksana. Maka kerana istimewa apa lagi rekabentuk kubah ini? Kubah gergasi ini cuma disokong oleh 4 tiang gergasi, maka kita boleh lihat keluasan yang amat pada lantainya tanpa batas tiang. Bermakna, muslimin muslimat boleh membentuk saf-saf solat lurus tanpa tiang membatasi saf. Dan lebih bermakna lagi, bahawa islam menyantuni hal-hal baik yang dibawa oleh mereka yang bukan beragama Islam, dan tidak membawa masuk pula elemen-elemen yang tidak baik. Pada siang hari pula, kaca-kaca yang ada disamping kubah gergasi ini pula menjadi platfom sinaran mentari menerangi segenap ruang masjid, bergabung khidmat bersama kaca-kaca yang ada pada tingkap masjid yang berjejeran keliling pada dinding masjid ini. 4 tiang pendokong turut diberikan simbolik tersendiri, iaitu Khalifah Arrasyidin yang empat mendokong kubah yang satu iaitu simbolik kepada baginda Rasulullah s.a.w. Sekarang engkau faham duhai sahabatku, Bintang?

-SubhanAllah, aku mengerti Ahmad. Sungguh kata-katamu memberi inspirasi.Patutlah usiamu 14 tahun bukan alasan bagimu untuk menolak warisan tampuk pemerintahan dari bapamu. Sultan termuda dalam sejarah Uthmaniyyah menjadi Sultan Turki, dan termuda juga menjadi Khalifah Islam bagi bumi ini.

+Sudah menjadi amanah bagiku, Bintang. Engkau sendiri adalah amanah bagiku juga.Dan engkau juga punya amanah kepada diri sendiri dan ummah, raikanlah orang-orang yang hadir di keliling kita.Seperkara lagi, membaca itu jalan mendapatkan ilmu. Bagi mengekalkan rasa ingin tahumu itu, engkau pasang soalan-soalan di minda, lalu carilah jawapannya. Maka, setiap kali engkau membawa tetamu menziarahi ke sesuatu tempat, engkau pasti tidak sabar berkongsi hal yang baru hari demi hari. Sebagai contoh, anjung masjid yang kita duduk ini, mengapa arkitek Uthmaniyyah merekanya sebesar ini? Pasti ada jawapannya. Kemudian raikan tetamumu mengikut minat, bidang kerja dan padang ilmu mereka. Satu kumpulan mahasiswa datang bertandang, dalam dada mereka penuh ilmu-ilmu kejuruteraan. Persediaan engkau juga begitu, persiapkan diri dengan pengetahuan kejuruteraan. Bereti engkau tidak bicara sendiri, boleh menjadi perbincangan dua hala lagi. Sekumpulan kecil bapak-bapak dari Jawa misalnya, datang ingin tahu soal hubungan Uthmaniyyah dengan Indonesia. Maka engkau persiapkan pula maklumat-maklumat hubungan antarabangsa antara dua negara ini, aturkan pertemuan mereka bersama tokoh-tokoh tertentu.

-Faham, Ahmad. Sungguh aku berterima kasih denganmu. Atas kesudianmu sudi memberi nasihat kepadaku.

-Sudah menjadi tanggungjawab seorang sahabat, Bintang. Menjawap permintaan nasihat dari sahabatnya.Aku berlalu dahulu. Isteriku, Kosem sedang menantiku di permakaman itu.

-Persilakan duhai sultan.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Walau pertemuan itu tidak mungkin terjadi, ia masih mungkin jadi nyata dalam mana-mana lorong fikiran. Selamat bersemadi sang Sultan Ahmad I, bersama isterimu, Sultan Murad IV, Osman II dan Beyazid. Masjid Biru tersenyum. Satu demi satu memori menerpa bersama angin dingin.Salah satunya, itu.Seseorang telah mengajarkan saya perihal harus bagaimana saya perlu perlakukan diri saya sebagai seorang ‘fixer’ yang baik untuk ummat ini.

Ziarahi 10 Masjid Singapura Ramadhan ini

Alhamdulillah, Ramadan kali ini; penulis buku Bulan Bintang Singapura (BBS) dan Singaporeannya membariskan 10 daripada 70 buah masjid untuk diziarahi kali ini oleh Malaysian yang teringin menikmati Ramadhan dekat-dekat dengan tanah air sendiri. 

Apa istimewa Ramadhan di Singapura?

Luar biasanya, Melayu di sana cuma sekitar 15% dari segenap populasi ditambah pula dengan pekerja-pekerja Muslim antarabangsa, jadi kita akan merasakan perbezaan besar berbanding menyambut Ramadhan di tanah air yang dikelilingi orang-orang Muslim tempatan majoriti. Tapi, di Singapura keraian Ramadhan dan Syawal turut dirasai oleh seluruh Singapura. Khemah-khemah bazar sudah awal-awal meriah didirikan di banyak daerah. 

Istimewanya lagi, memandangkan jumlah masjid yang sekian banyak dan agak jauh bagi sesetengah warga, bawah-bawah blok dikemas dan dirapikan sebagai tempat khas oleh pihak masjid terdekat untuk penghuni blok berjemaah bersama. Imam juga dikirimkan khas oleh masjid untuk penghuni ini sepanjang Ramadhan. 


"Baik Tarawih di masjid mahupun di kolong blok, ada saja rakan-rakan lama akan turun berkumpul. Seolah-olah kami berjumpa di tempat kami ‘bermain’ sewaktu kecil dahulu. Itulah keindahan suasana Tarawih di bulan Ramadhan di sini bagi saya." - Hafizah 

Semua masjid ada usaha tersendiri bersama-sama jemaah memeriahkan Ramadhan di Singapura. Mahu solat Terawih di setiap masjid berbeza juga tak masalah. Berikut adalah masjid-masjidnya, 

1. Masjid Sultan 

Menurut BBS, Ramai sekali Malaysian yang berkunjung ke masjid ini kerana lokasinya terletak di Kampong Glam, pekan yang sarat dengan sejarah, rumah-rumah kedai antik dan terletak di kawasan tumpuan pelancongan. Masjid ini adalah sultan kepada masjid lain, kerana ia berperanan sebagai masjid nasional Singapura, dan azannya diizinkan bergema keluar. Indah sekali melihat para pelancong asing menyempatkan diri masuk menziarahi masjid yang sangat berwrna-warni ini, menampakkan pentingnya masjid ini mendukung imej Islam di Singapura. 

Saat Ramadhan, sukarelawan iftar dibuka kepada umum. Kira-kira 800-1000 orang menyertai iftar di sini, boleh makan sama dengan turis-turis sekali hehehe. Bubur disebarkan usai solat Asar, dan emak bilang, bubur Singapura ada rasa yang berbeza dari Malaysia. Harus dicuba. Kuliah Ramadhan disediakan khas selepas Zohor setiap hari dan sahur turut disediakan pada 10 malam terakhir untuk kira-kira 300 orang. 

Boleh juga solat Magrib di sini, nanti Ishak dan Terawih dibuat di masjid berdekatan seperti Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Malabar. 

"Aura ketenangannya berbeza. Mungkin kerana para orang soleh selalu hadir dalam masjid ini" - Hafizah


2. Masjid Yusof Ishak


Masjid Yusof Ishak inilah antara masjid yang paling dekat sekali dengan Johor. Terletak di Woodland, boleh naik bas atau pecut kereta sekejap, malam lepas terawih balik semula ke Johor. Ia merupakan antara masjid baharu, 5 tingkat dengan pelbagai fasiliti.

Boleh dapatkan bubur selepas Asar. Masjid ini dan masjid lain rata-rata mengadakan Tadarus Quran untuk muslimin selepas terawih, manakala wanita pula setiap pagi. Yang best, masjid ini mengadakan mother-child prayer room, yakni bilik khas untuk ibu-ibu yang mahu solat berjemaah disamping anak-anak kecil. 

Foto -Hafizah




3. Masjid Pertempatan Sembawang


Bersebelahan dengan Woodland, Sembawang pula memiliki masjid paling nyaman dalam suasana kampung di Singapura dengan diapit oleh hutan. Bunyi cengkerik dan burung-burung sangat jelas kedengaran damai. Menurut BBS, masjid ini sedikit jauh menghampiri pantai, jadi pengguna bas perlu berjalan sedikit ke dalam. Walaupun dalam hutan, saat Ramadhan masjid ini sentiasa dipenuhi jemaah sepanjang Ramadhan. Kerana faktor parkir yang banyak dan suasana kampung yang jemaah dambakan. Iftar disediakan sepanjang Ramadhan, ramai juga yang iktikaf di 10 malam terakhir. 

Saat solat Hari Raya, jemaah penuh hingga membanjiri parkir hingga ke bawah pokok-pokok gergasi di sekitar masjid. bestnya, solat dibawah lindungan dahan dan daun-daun hutan. 


4. Masjid Abdul Ghafoor


Ini masjid paling unik rekabentuknya. Segala sudut senibinanya memiliki simbolik tersendiri, perlu baca buku BBS lah hehehe. Namun, sekarang masjid ini sedang dalam proses pembaikan di beberapa sisi masjid. jadi tahun ini, masjid menghadkan kuantiti iftar kepada 600 orang. Tahun-tahun sebelum ni, masjid ini antara yang termeriah mengadakan iftar sekitar 1000 orang, ramai pekerja-pekerja Pakistan dan Bangladesh akan berkumpul di sini untuk rewang dan iftar sama.  

Istimewanya Ramadhan di masjid ini, bubur dihidangkan kepada umum dan sebelum iftar akan diadakan kuliah dalam bahasa Tamil. Ada Majlis zikir setiap Khamis malam. Kira-kira 500 orang boleh menyertai Sahur, dan untuk Puasa 6 di bulan Syawal nanti, ada iftar disediakan kepada kira-kira 200 orang.

5. Masjid Al Abdul Razak


"suasana perkampungan wujud di sini meskipun dikelilingi rumah teres Dan bungalow. Mungkin juga kerana para habaa-ib sering berikan ceramah kuliah subuh (sesuatu yang agak memerlukan juhud untuk dilakukan Dan menghadirkan diri). Keistimewaan masjid ini sangat ketara..." - Hafizah

Di samping Masjid Darul Aman yang terkenal dengan rekabentuk rumah limasnya, di Eunos juga terdapat sebuah lagi masjid yang kecil tapi kelihatan bersemangat membangun Islam di samping rumah-rumah teres mewah yang kehijauan, banyak sangat pokok-pokok menghiasa laman-laman rumah. 

Saat Ramadhan, Iftar turut disediakan juga bubur usai jemaah Asar. Manakala Iftar disediakan pada 10 malam terakhir. 

"Menariknya, masjid ini mula dibina pada pertengahan tahun 1964, ketika itu Singapura masih di bawah pemerintahan Malaysia. Setahun kemudian pula ia siap, setelah Singapura menggapai kemerdekaannya. Abdul Razak dinisbahkan kepada penderma Arab dari Kuwait." -Bulan Bintang Singapura.

6. Masjid Al Islah


Masjid Al Islah ini terletak di daerah Punggol, masjid paling moden senibinanya menurut BBS. "Makin saya mendekati dewan solat laki-laki, makin jelas saya lihat kaligrafi kufi gergasi tergantung pada sudut kanan dinding hadapan masjid. Tinggi mencecah langit-langit masjid. Tak ada mimbar dan mihrab tipikal seperit masjid lain. Namun di tengahnya ada pentas kecil sebagai ganti mimbar."

Ketika pembinaanya 3 tahun lalu, pertandingan rekabentuk masjid dibuka kepada umum, kerana itu senibinanya kelihatan moden sekali dan luar biasa. Siap dengan parkir di basement, dan beberapa lantai siap dihiasi taman tak berbumbung. Sementara menunggu ibu-ibu solat, anak-anak boleh bermain di taman terbuka. 

Masjid ini juga memiliki ruang yang terbuka 24 jam untuk manfaat jemaah. Sepanjang Ramadhan, barisan imam telah disenaraikan ada pengedaran bubur juga. Dan menjadi tradisi di sini, jemaah akan beriftar dengan kurma dan air dahulu, solat Magrib berjemaah kemudian makan malamnya. Di sini pula, solat Terawih dilakukan sebanyak 8 rakaat diikuti solat Witir, diikuti oleh kuliah selepas Terawih pada setiap Jumaat dan Sabtu malam. 

7. Masjid Kampung Siglap


"Masjid yang sentiasa berjihad untuk mengeluarkan graduan graduan para huffaz Alquran. Para imam untuk solat Tarawih pun kebanyakannya merupakan Hafiz Alquran" - Hafizah 

"Masjid ini telah didirikan sebelum tahun 1903 lagi, kemudian pada tahun 1990an muncul idea untuk mendapatkan tempat hafazan Quran dan belajar Quran secara kursus. Masjid ini telah terpilih kerana kedudukannya yang jauh daripada kehidupan hiruk-pikuk bandar dan senibinanya ala kekampungan." - Bulan Bintang Singapura (BBS) 

Masjid Kampung Siglap juga dikenali sebagai Darul Quran kepada bumi Singapura. Masjid ini seperti juga kebanyakan masjid lain memiliki fleksible door yang boleh menyambungkan banyak ruang menjadikan dewan solat semaksimum yang mungkin. 

Untuk Ramadhan, sebuah program khas diadakan untuk warga senior yang tunggal, iaitu The Home Makeover Project (HMO). Di mana komuniti HMO ini akan mengecat semula dinding rumah, mengantikan perabot yang perlu serta bantu membersihkan rumah. Untuk solat jemaah nanti, ibu-ibu berserta anak disediakan ruang khas juga, usaha ini pun dilaksanakan oleh banyak masjid lain juga. 


8. Masjid Darul Ghufran


“Ada komuniti yang tua tidak dapat berjalan ke masjid, mereka boleh turun sahaja bawah blok dan dirikan solat berjemaah. Kita pun faham kedudukan masjid sebenarnya agak jauh dari kawasan perumahan. Walaupun dah buat kaedah ini, masjid juga tetap penuh. Sangat meriah. Ada kami berikan aiskrim, dan air isotonik untuk orang dewasa.” – Bulan Bintang Singapura (BBS)

Masjid Darul Ghufran tahun ini telah rasmi menggunakan bangunan barunya, yang boleh menampung 5,500 jemaah menjadikannya masjid paling besar di Singapura. Rooftopnya juga boleh dibuka untuk memuatkan ribuan jemaah. Terletak di sebelah Barat  Singapura berdekataan Changi. Siapa nak terbang dari airport Changi tu boleh singgah sekejap solat di sini.

Soal iftar, masjid ini antara destinasi iftar yang terkenal di Singapura. Seperti masjid lain juga, masjid ini turut disertai oleh Muslim pelbagai bangsa dan negara untuk membantu di dapur dan sama-sama iftar. Istmewa Ramadhan ini, diadakan Moreh bersama Imam pada setiap Jumaat Malam (light meal & portluck), dan My Ramadhan Academy iaitu Youth Qiyamullail sepanjang Ramadhan. 

Foto - Masjid Darul Ghufran

9. Masjid Kassim 


Di samping Masjid Hj Mohd Salleh dan Masjid Khadijah, Geylang juga terkenal dengan Masjid Kassim; antara masjid tertua Singapura yang berdiri sejak tahun 1920an. Kini, masjid ini berdiri disamping Wisma Indah Building yang memayungi banyak institusi Islam dan boleh menampung jemaah seramai 2000 orang. 

"Saya sentiasa rasa bahawa seolah-olah masjid Kassim adalah hab (hub) ilmu kerana kawasan masjid ini dikelilingi dengan kedai-kedai buku serta pusat-pusat tuisyen dan kelas kelas yang menyemarakkan ilmu agama" - Hafizah

Sepanjang Ramadhan ini, Imam Nawawi Wasid Sahim Al-Hafiz akan memimpin solat jemaah Terawih. Malah, ada juga pelajar Tahfiz Singapura akan diberikan pendedahan untuk memimpin solat dibawah pantauan oleh Imam Nawawi Wasid Sahim Al-Hafiz. Sepanjang Ramadhan usai Magrib, syarahan dibawakan khas kepada jemaah, begitu juga Kuliah Subuh pada setiap pagi Ahad. 

Foto - ADIL

10. Darul Arqam


Darul Arqam ini berperanan sebagai Muslim Converts' Association of Singapore. Penting tugasnya dalam menyediakan program-program khusus untuk saudara baru kita. Sebelum Ramdhan lagi Darul Arqam mengadakan kursus khas Fiqh Ramadhan merangkumi; What nullifies our act of fasting? What are the recommended (Sunnah) acts to complement our fasting? Besides Tarawih prayer, what other prayers did the Prophet (PBUH) do? What and when is the ‘Night of Magnificent’ (Lailatul Qadr)? Why do we need to pay alms (Zakat Fitrah)?

Pasti terasa istimewa dapat menjalani ibadah Ramadhan bersama teman-teman mualaf di sini. Para mualaf malah diajak berterawih bersama di beberapa masjid tertentu di bawah program Traweller 2019. Perjalanan Terawih akan dibantu oleh wakil Darul Arqam di setiap masjid. Jadi siang hari saja, kita ziarah Darul Arqam, seperti apa rumahnya kan?

"Surau yang kecik tapi sangat berbakti kepada masyarakat. Di tengah kesibukan Geylang Serai, saya rasa saya paling selesa dengan masjid ini mungkin kerana Ianya berhawa dingin Dan berkonsep 'homely'" - Hafizah

Foto - Darul Arqam

Alhamdulillah, tersenarai sudah 10 masjid Singapura. Semangat menjalani ibadah Ramadhan yang mulia ini. 

Dapatkan buku travelog Bulan Bintang Singapura ya, moga bermanfaat hendaknya buku ini kepada masyarakat. Boleh dapatkan dari Mar wassap +60169403041 atau dapatkan di website Kertas Terbang Studio https://kertasterbangstudio.com/

"Buku ini mengisahkan tentang perjalanan Nilam Tang yang melakukan beberapa siri kunjungan ke Singapura untuk menyelami kerohanian dan melihat perkembangan agama islam di sebuah negara yang dianggap demokratik sekular. Pada masa yang sama menjejaki kenangan hidup emaknya sejak tahun 60-an hingga kini.
Singapura yang dahulunya dihuni majoriti masyarakat melayu berubah lanskapnya setelah kedatangan inggeris dan kemasukan ramai pendatang luar menjadikan kuasa politkk dan majoriti penduduk juga berubah bukanlah satu hal yang mustahil akan terjadi di mana-mana jua. Penulis merasakan pengalaman kembara sebagai muslim dan minoriti dengan cara bergaul dan menjalani kehidupan sebagaimana warganegara ‘minoriti’ Singapura melaluinya.
Makanya, untuk membesarkan minoriti itu, penulis pergi ke pasar-pasar besar, mendatangi pekan-pekan dan rumah-rumah Melayu, ziarah puluhan masjid, menyertai kuliah-kuliah, dan akhirnya penulis mendapati kategori ‘minoriti’ tidak menenggelamkan malah membangkitkan Muslim Singapura dari dalam. Seperti lambang metafora bulan dan bintang di kubah masjid di Singapura sebagai lambang keislaman dan penyatuan. Bagi penulis pula bulan yang satu tak pernah tenggelam di kalangan majoriti bintang-bintang. Kedua-duanya saling  mendokong dan memperindah alam."


Terima kasih, semoga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi.

Warmshower #6 Sergey & Katya, Orang Rusia


Sepasang suami isteri Sergey dan Katya dari Rusia cepat-cepat berlepas ke Singapura sebelum bumi eropah diselimuti salji. Mereka telah berkayuh selama 3 bulan dan belum pasti lagi bila mereka bakal pulang ke Rusia semula.
 Senang hati mendengar mereka berdua mempunyai ikatan perkahwinan. Saya pun mudah nak siapkan satu bilik tidur sahaja. Bagi yang belum berkahwin ini biasanya laki-laki akan berkemah di anjung ataupun tidur di lantai ruang tamu. Dengan ikatan perkahwinan ini, biasanya saya lihat mereka lebih telus antara satu sama lain dan tahu menyembunyikan kemesraan yang tidak sepatutnya dibuat di khalayak ramai.
 Mereka berkahwin pada dua tahun lepas ketika masing-masing berumur 30 tahun. Katya kata tak ada upacara perkahwinan di gereja seperti budaya orang-orang eropah. Di Russia kedua-dua calon perlu pergi ke pejabat perkahwinan, dan tandatangani dokumen. Kemudian pengesahan diberikan dengan mengecop buku passport. Saya fikirkan pasport travel rupanya tak ada identiti card mereka berupa sebuah buku seperti passport.
Russian yang mahu juga berkahwin di gereja, pasangan perlu menyediakan satu lagi prosedur lain. Tetapi hanya 10% saja pasangan yang melakukan upacara di gereja. Ramai juga pasangan tinggal bersama tanpa ada  ikatan perkahwinan ini. Tika pasangan mahu memiliki anak, mereka akan mendapatkan cop perkahwinan.
Di kemudian hari, pasangan yang berpisah mudah untuk memberikan apa-apa hak terhadap naak mereka. Secara undang-undang, mereka sudah ada bukti rasmi siapakan emak dan bapa kepada anak tersebut.
Selepas urusan cop perkahwinan, keluarga masing-masing akan berkumpul di sebuah restoran untuk meraikan perkahwinan ini. Katya berkahwin di Moscow dan mengundang 30 orang sahaja tetamu. Tambahan pula, emak ayah masing-masing perlu terbang dari Siberia dan Tasik Baikal dengan adik-beradik mereka.
Rata-rata Russisan yang memiliki tiga atau empat orang adik-beradik sudah dikatakan sebagia keluarga besar.  Jadi 30 orang tetamu sudah memadai cukup bagi sebuah majlis. Semasa kakak Katya berkahwin di Tasik Baikal, jemputan 100 orang pula dianggap sangat ramai.  Lagipun, jiran-jiran rapat dan teman-teman pejabat serta saudara mara tak perlu diterbangkan ke mana-mana. Cuma dua tiga langkah tak jauh dari rumah mereka.
500 kad jemputan di kampung saya sendiri pulak dianggap sikit. Suami isteri diundang menjadi 1000 orang tetamu.  Belum 1000 kad jemputan diedar lagi hihihi.
Emak dan bapak Katya mengambil masa 5 jam penerbangan dari Tasik Baikal  menuju ke perkahwinan mereka. Perbezaan waktu juga antara dua kota adalah 5 jam. Perjalanan dengan keretapi pula memakan masa 5 hari, punyalah besar tanah Russia  ini.
Perjalanan itu dirasakan sangat jauh bagi emak dan bapaknya. Mereka tak pernah keluar negara Russia kerana merasakan negara mereka sudah memadai untuk meluangkan cuti-cuti mereka sekeluarga.
Russian pun baru-baru saja terbuka untuk mengembara dengan basikal mengedari dunia. Pada permulaan Katya mahu ke luar negeri, dia mendapat tentangan dari keluarga mereka yang tipikal Russian. Russian yang memiliki wajah serius, menentang kesejukan setiap hari pulang dan pergi ke tempat kerja. Matlamat terbesar ibu bapa Russian adalah menjaga keperluan dan kebajikan seisi keluarga mereka. Harus membayar banyak bil, memanaskan rumah mereka, membeli banyak baju sejuk, membeli bekalan makanan yang secukupnya dan lain-lain.
 “Emak, perjalanan ke London memakan masa 5 jam, sama untuk saya pulang ke Tasik Baikal. Tapi saya memilih London”, gurau Katya kepada emaknya agar dia tenang merelakan anaknya pergi ke suatu tempat yang tidak jauh juga dari sisinya.  Lama kelamaan emak bapaknya terbuka dan saling bertanya khabar dunia di luar kotanya, setiap hari Katya akan menghantar khabar dan foto-foto perjalanannya.  
Sergey pula berasal dari negeri Siberia. Saya punyalah fikir-fikir Siberia tu sebuah negara jiran bagi Rusia. Mereka pun tolong fikir kenapa Siberia terkenal bagi saya. Katya kata Siberia mungkin sangat terkenal dengan sumber  permata dan intan,  serta sumber asli yang lain.
 Lama kami berborak hingga menyentuh bab landasan tren yang menghubungkan banyak kota-kota Rusia. Barulah saya ingat tentang tren Siberian yang sangat masyur tu.  Ramai orang yang mereka jumpa menanam hasrat untuk membuat rekod peribadi menaiki tren tu, termasuk saya.
Katya kata ramai Russian menggunakan pesawat, tapi tak semua negeri memiliki landasan kapal terbang, Russian perlu melakukan banyak connection antara kenderaan awam. Tiket pesawat tak begitu mahal, kerana ia suatu keperluan penting bagi Russian, setiap hari beratus flight domestik menyeberang kota-kota. Namun ada Russian yang memilih tren, tahan atau tidak sahaja dengan perjalanan yang jauh berhari-hari dengan servis yang sederhana.
Seluruh Rusia terdiri daripada lebih 80 buah negeri atau mungkin 100 menurut Katya.  Dan sebab keluasan tanah masing-masing, setiap negeri diurus spenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Setiap negeri mempunyai hasil ekonomi dan undang-undang sendiri.
Misalnya negeri kaya seperti negeri Islam Chechnya mempunyai sumber petroleum yang banyak. Seisi kotanya dibangunkan dengan baik dan indah-indah,  tak hanya tertumpu kepada pengurusan masjid-masjid saja. Rakyatnya memiliki hak yang sama dalam pendidikan, peribadinya bagus, dan saling membangun fizikal dan rohani. Pembangunan kota jadi bukti kejayaan bagi sebuah Tamadhun Islam yang telus.
Kerajaan negeri juga memberi sebahagian hasil kekayaan kepada kerajaan pusat Moscow. Chechnya, Degestan dan  Tatarstan adalah tiga negeri Muslim yang terbesar di Rusia. Manakala Khazan yang terkenal itu pula merupakan ibu negeri bagi negeri Tatarstan.
Mengapa negara-negara jirannya seperti Kazastan, Turkmenistan, dan Uzbekistan ini semua mempunyai perkataan ‘Tan’ di hujung nama? Katya kata, sama apa yang terjadi kepada negeri Tatarstan, mana-mana tanah yang diduduki oleh bangsa Tartar akan diberikan nama ‘Tan’.
Katya setuju hubungan negeri-negeri Islam Rusia sangat baik dengan kerajaan pusat. Walaupun dulu ada ura-ura Checnya mahu menubuhkan negaranya sendiri. Dia pernah juga singgah ke Kazhan yang indah itu. Rusia memiliki ira-kira 25 juta penduduk Islam. Khabar-khabar buruk mengenai Muslim Rusia yang sampai kepadanya disangkal dengan pemerhatiannya sendiri. Orang-orang Kazhan meraikan sesiapa saja, ramah dan sangat sopan.
Suatu hari nanti saya mahu ziarah negeri-negeri Islam ini, perlu tunggu Katya balik ke Rusia dan dapatkan surat jemputan visa darinya nanti. Mestilah nak naik juga Tren Siberian tu.
Menyebut tentang agama dan gereja, Russian menganut agama Kristian Ortodoks. Hari sembahyang tak hanya tertumpu pada hari Ahad sahaja. Manakala sambutan Krismas diraikan pada 7 Januari. Selama 7- 10 hari cuti dikhaskan untuk perayaan terbesar ini. Mereka saling pulang ke kampung masing-masing dan saling bertukar hadiah.
 Katya lupa apa sejarah perayaan Easter pulak. Ada 1 hari cuti saja diberikan kepada pekerja. Setiap rumah akan merebus sejumlah telur dan menghiasinya dengan cat warna-warni. Jika ada tetamu yang datang, kedua-dua telur masing-masing akan dilaga, telur yang pecah dahulu akan dimakan oleh si  pemenang. Tetapi biasanya masing-masing akan makan telur sendiri.
 Kadang mereka tak juga pulang ke kampung malah keluarga yang akan menjenguk mereka di Moscow. Mengapa Katya dan suaminya memilih untuk tingggal di Moscow? Tak hanya anak-anak Rusia yang bermimpi mahu ke Moscow, rakyat negara terdekat seperti Ukraine dan Belarus juga mahu berhijrah ke Moscow. Bukan kerana ekonomi Rusia yang baik tapi sebab duit-duit yang lebih banyak berada di Moscow.
Usai tamat sekolah, ibu bapa Rusia melepaskan anak-anak kerja menjauh ke kota-kota yang lebih baik. Kos hidup tak begitu mahal, dan kos pendidikan adalah percuma dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Sebab itu juga ramai anak-anak Malaysia belajar di sana, kos pengajian antarabangsa murah.
 Katya bilang untuk makan di luar itu super mahal. Tak ada kafe yang hanya menjual kopi, pasti semuanya menawarkan makanan berat. Masak di rumah jauh lebih murah, cuma sekali-sekala hujung minggu sahaja mereka dating di kafe. Musim sejuk yang panjang membuatkan kos makanan agak tinggi, tanaman-tanaman perlu dijaga rapi dan barangan import perlu mendokong keperluan rakyat juga.
 Yang sangat diperlukan bayaran adalah bil-bil air dan elektrik untuk memanaskan rumah sepanjang musim sejuk kira-kira setengah tahun lamanya. Tergantung juga di mana lokasi sesebuah kota itu. Jadi mereka seronok melakukan kayuhan di sini. Panas sehingga kulit-kulit mereka gelap sedikit. Tapi mereka tidak menjangkakan hujan sedang bermusim di sini.