Loceng
rehat SK Seri Anom berdering kencang. Saya membawa sebatang pensil, sebiji pemadam
comot dan sebuah buku contengan menuju ke perpustakaan. Langkah saya
terhenti-henti melawan arus murid lain yang berpusu-pusu menuju ke arah kantin.
Seperti
biasa, saya duduk bersila di samping rak buku kisah dongeng dan buku
kanak-kanak berbahasa Inggeris. Saya akan terleka meniru dan menulis huruf-huruf
klasik yang begitu unik dari buku-buku itu semua.
Satu
hari, sedang mata saya menjamah buku-buku dari satu rak ke sebuah rak yang unik
dalam keseragaman; saya tertarik apabila menemukan buku-buku tebal yang hari
itu juga baru saya tahu rupa-rupanya ia kamus.
Entah
mengapa selama ini saya tidak tahu akan kewujudan kamus dwibahasa di
perpustakaan. Malu pula memikirkan dek terlalu kerap meminjam kamus daripada
kawan-kawan semasa masing-masing juga memerlukan kamus pada masa yang sama. Selama
ini, tercengang sahajalah tika bila tiada kamus boleh dirujuk. Bagi saya memang
sangat mahal harga sebuah kamus kalau dibeli dari kedai buku di luar.
“Kau
kena buat kad pustakaan kalau nak pinjam”, jelas rakan sekelas.
“Boleh
pinjam berapa lama ni?”.
“Seminggu
je. Lepas tu ko nak sambung pinjam kena cop kad lagi. Kalau lewat sehari denda
satu hari 20 sen tau.”
Sambil
berjalan keluar menuju ke kelas, semangat betul saya menyelak helai-helai kamus
itu tanpa menghirau deringan loceng. Sangat seronok dan teruja.
Saya berfikir sendiri, ‘kalau aku terlambat
pulangkan ni, habis aku kena denda. Sehari 20 sen. Banyak tu. Duit kocek sehari
50 sen je. Kena pulang pastu pinjam balik ni’.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Seminggu
kemudian.
“Semua berdiri! Dah Tahun 5, takkan tak beli
kamus lagi. Setiap orang mesti ada satu kamus. Faham tidak?” Suara nyaring
Cikgu Aida mendesingkan telinga.
Cikgu
Aida terlihat panas hati. Ramai anak muridnya tidak dapat menjawab
maksud-maksud perkataan yang ditulis olehnya pada papan hitam.
“Keluarkan
kamus sekarang! Kalau dah pandai bahasa Inggeris lain cerita.”
Masing-masing
sibuk menyelongkar beg, mencari-cari kamus yang ada atau sememangnya tidak wujud.
Saya cepat-cepat mengoyakkan laman pertama Kamus Dwibahasa Oxford Fajar dengan
laju. Lalu cepat-cepat saya buang ke dalam tong sampah tak jauh dari kerusi
saya.
Seorang
dua kawan-kawan telah didenda dengan sebatan rotan di tangan. Mereka yang
bersalah menunduk saja kerana ketakutan.
“Siapa
tak ada kamus, boleh pergi pinjam di perpustakaan. Cuma saya nak pesan sikit.
Baru-baru ni Cikgu Alipuddin ada beritahusaya, banyak kamus perpustakaan dah
hilang. Ramai murid buat pinjaman kamus tapi tak pulangkan semula kamus.”
Menggeletar
lutut saya tak tertahan bila tiba giliran saya.
“Ini
kamus awak?”
Saya
menunduk takut.
“Saya
tanya, ini kamus awak?” tanya Cikgu Aida pada nada yang lebih keras, tangannya
menyelak kasar kamus itu.
Teragak-agak
saya menjawab, “Ya, cikgu”.
“Betul
ini kamus awak? Awak jangan tipu saya. Kenapa ada kesan koyak ni?”
Saya
terus menunduk.
Seorang
murid lelaki yang terkenal nakalnya berlari ke tong sampah. Sampah dikuak-kuah
hingga segumpal kertas dijumpai lalu dia leraikan gumpalan.
“Ini
cikgu. Tadi saya nampak dia koyakkan kamus ni. Ada cop pustakaan!”
Mata
cikgu menerkam mata saya. “Kenapa awak tipu saya? Betulkan ni kamus dari
perpustakaan? Kenapa awak tak pulangkan?”
“Saya
takut cikgu. Saya tak ada kamus.”
Sebatan
rotan mengena tangan saya. Dua kali. Sedaya-upaya saya cuba menguatkan hati, menahan
dan kalau boleh tak mahu menangis.
“Adik-beradik
awak tak ada kamus? Dekat rumah awak tak ada langsung?”
“Tak
ada, cikgu.”
“Ikut
saya ke bilik guru sekarang”.
Jantung
saya berdegup lebih kencang lagi sewaktu beredar keluar kelas. Di bilik guru, mata-mata
guru lain pula menyambut saya aneh. Sayaterpaku di hujung meja guru sahaja.
“Kenapa
Aida?” tanya salah seorang guru perempuan.
“Pelajar
Aida ni kak, tak ada kamus. Aida nak bagi kamus lama Aida. Rasanya ada dalam
laci ni kalau tak silap.”.
Sebuah
kamus dihulurkan kepada saya.
“Ini
kamus awak, cikgu bagi. Mujur ada kamus lama ni, tapi masih boleh pakai. Jangan
ulang lagi apa yang terjadi,” nasihat Cikgu Aida.
“Terima
kasih cikgu. Saya minta maaf”.
Sebenarnya,
saya merasa keliru dan takut untuk mengakui bahawa saya tidak memiliki kamus.
Sementelah pula nak memberitahu Cikgu Aida yang saya sudah terlewat untuk
memulangkan kamus ke perpustakaan. Kedua-dua pengakuan akan menyebabkan saya
didenda dengan dirotan tangan dua kali bernading kawan-kawan lain. Rasa sangat
memalukan. Saya lebih memilih untuk mengoyakkan kamus itu sebagai satu helah untuk
terhindar daripada label ‘pencuri’.
Kejujuran
memang pahit, namun akhirnya ia membenihkan keberanian dalam diri.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sekitar
setahun kemudian. Hari Anugerah 2000 adalah acara tahunan yang kami 5 beradik begitu
tertunggu-tunggu pun tiba. Ianya hari untuk membanggakan emak kami.
Guru-guru
Sekolah Seri Anom bagi saya sentiasa berusaha menyediakan hadiah yang terbaik
buat anak-anak murid atas usaha masing-masing. Banyak sekali hadiah tersusun
kemas bersebelahan pentas. Bagi penerima anugerah, kami diminta untuk beratur
panjang dalam satu barisan di kaki lima dewan. Pelajar yang perlu naik ke
pentas berulang kali, akan segera mencelah ke giliran yang sepatutnya, sibuk
sekali cikgu mengatur kami.
Pada
giliran kelima kali saya mengambil anugerah, nama saya diumumkan.
“Penerima
Anugerah NILAM Tahap Dua, Nilam binti
Ahmad”.
Para
hadirin di dalam dewan ketawa riang mendengarnya, kerana mungkin nama
anugerahnya sama dengan nama saya. Saya tersipu-sipu malu.
Seingat
saya tidaklah saya mencatit banyak rumusan di dalam buku Nilam. Cuma sehelai
dua kalau tidak silap.
Sejak
peristiwa kamus itu, saya tidak berani lagi meminjam buku. Namun, sudah menjadi
kebiasaan untuk saya tetap hadir ke perpustakaan setiap hari. Saya akan
mengambil ruang peribadi bersandar pada rak-rak buku lalu membaca buku cerita,
membelek buku teknologi ringkas dan juga melihat-lihat buku bergambar sehingga
loceng berbunyi kencang.
Sering
saya merasa tidak begitu gembira di kelas. Terasa dipinggir kerana faktor
kemiskinan dan tidak pandai bergaul mungkin. Sekolah hanya tempat saya berdiam
diri dan belajar. Di rumah pula tidak ada bekalan elektrik. Maka rak-rak buku
di sekolah adalah siaran-siaran televisyen untuk saya manfaatkan.
Namun
yang pasti, rumah adalah taman kehidupan saya. Tempat saya bermain dengan
sahabat-sahabat. Mereka itu adalah adik-beradik saya. 13 orang semuanya. Menjadi
aktiviti harian kami mengikut bapak ke kebun sayur setiap petang. Di situlah
tempat kami meneroka banyak benda dan ide baru. Bahagia sekali.
No comments:
Post a Comment