Menara kanan Masjid Biru sedang sakit, lagi ditopang dek besi-besi
-Oktober
2014
-Husna, saya mahu
ke Masjid Biru. Bawak diri jap.
+Okay, hati-hati.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Stesen Yusufpasha
saya tinggalkan. 5 ke 6 stesen tramvay menyapa, maafkan saya walau kalian
terbuka menerima saya, Sultanahmet menjadi pilihan kali ini. Mahu menyapa Sang
Masjid Biru, titik fitrah kedatangan saya di bumi Istanbul ini dahulu. Husna
tidak menemani, dia pun tidak mengetahui untuk tujuan apa saya ke dalam dakapan
Masjid Biru. Cuma si macho-nya jadi
teman bisu, Nikon D90.
Saya berjalan dengan
hati yang sarat dengan kesedihan dan perasaan bersalah. Sedih, tidak pulang
bersama tetamu menerobos awan gemawan petang tadi. Walaupun sudah tahu, itu
bukan waktunya untuk kembali. Mencintai kerjaya saya kini sebagai ‘fixer’
terkadang punya jiwa juga ingin kembali pulang. Tidak mahu bersendirian. Walhal,
ada ramai juga teman-teman Melayu di sini, terasa seperti ditinggalkan
teman-teman Melayu, padahal mereka adalah tetamu. Yang mendatangi dan
meninggalkan saya.
Mula merindui personaliti
para tetamu, keramahan mereka, susah senang bersama mereka, ragam-ragam Melayu
dan keinginan Melayu. Pasti mencari nasi di negara orang.Sambal atau menu
berperasa sedikit pedas.Umumnya kau merindui tetamu, tapi khususnya kau
merindui kampung halaman kan, Bintang?
Kedua kerana perasaan
bersalah yang berat. Saya mengheret perasaan itu hingga ke anjung Masjid Biru. Kebosanan
sedang sesuka hati beraja dalam jiwa saya. Saya berazam mahu singkirkannya,
tapi belum sekental mana pun azam. Bersalah kepada semua tetamu, merasakan
tidak adil dalam melayani mereka sebagai tetamu. Mungkin secara fizikalnya, ia
tidak kelihatan pada tubuh saya, kerana cuba sekali saya sembunyikan. Menyembunyikan
sesuatu yang telah lemah di dalam ini.
….istanbul
adalah ibu kota pemerintahan Uthmaniyyah setelah Edirne dan Bursa…dahulunya
adalah Constantinopal. Sultan Muhammad Al Fateh telah membuka kota ini… itulah
kubah Hagia Sophia yang mempengaruhi konsep kubah dalam dunia senibina islam…
kita perlu memasukinya untuk mengetahui lebih lanjut… Eyub adalah daerah
terawal yang dibangunkan oleh kerajaan islam… trip Bosphorus ini akan bermula
dari jeti Eminonu ini dan berakhir juga di sini, sekitar 1.5 jam sahaja masa
diambil..
Isi-isi sejarah
dan ayat-ayat yang hampir sama saya lontarkan, dipukul sama rata untuk semua
tetamu saya pada kebanyakkan tempat lawatan. Sudah diset di benak kepala saya. Pengulangan
yang telah saya hafali dan kemudian diperceritakan kepada tetamu. Oh begini dan
begitu. Begitulah sejarahnya ini dan sejarahnya itu.Pengulangan rutin berlaku
hingga satu batu kesedaran terlastik mengena kepala. Engkau tidak mengembangkan
apapun dalam diri engkau, cuma pada nokhtah yang sama. Bintang yang sama.
Semisalnya, memasuki
Hagia Sophia itu sudah diperhitungkan sekitar 3 atau 4 kali begitu, sejujurnya
saya tidak mahu mengakuinya sebagai rasa bosan, bosanyang telah mendakap dan
mencengkap tubuh ini. Jauh di lubuk hati, saya merasakan bahawa saya kehilangan
sesuatu, keterujaan! Bagaimana saya mahu menghadirkan perasaan teruja seperti yang
dimiliki oleh para tamu? Keterujaan yang saya miliki ketika pertama kali
menjadi tetamu Hagia Sophia itu? Keterujaan yang sebegitu, saya mengulanginya
pada setiap kali bersama tetamu yang bersilih ganti. Pada tiket yang bersilih
ganti saya beli. Pada mimbar yang bersilih ganti saya sapa setiap kali
bertandang menjadi tetamu.
Keterujaan,
datanglah. Semangat bekerja saya sedang merudum jatuh. Terhempas. Berderai ke
lantai anjung Masjid Biru. Lihat bahagian tertinggi masjid ini, menaranya yang
enam itu. Tiba-tiba, salah satu menara terhempas ke lantai Izniknya. Bertebaran
batu-batu ke banyak belahan mozek gergasinya.Berderai seperti semangatku. Terletak
sudah di puncak tertinggi, namun kerana kekentalan jiwanya tak bertahan lalu
rebah.
Saya duduk
berteleku di anjung masjid. Berbumbungkan langit hitam. Menara-menara masjid
jadi tiangnya. Saya selesa duduk di luar, memandang keindahan dewan solat utama
dari luaran. Si Biru pun senyum, sedang bahagia menyambut tetamu beribadah di
dalamnya dan menghantar senyum kepada mereka yang mahu beredar pergi. Sedikit
dingin. Kalau memasuki dewan solat pasti lebih sejuk. Magik. Memasuki sistem
masjid itu ternyata merasa panas di dalam ketika dingin di luar berhimpit-himpit
ingin menembusi dinding masjid, dan merasa dingin, ketika keluh kesah kepanasan
menangis ditinggalkan di luar masjid kerana langit tak berawan.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
-Assalamualaikum. Bintang,
apakah kamu tidak kedinginan di anjung ini? Apa tidak mahu bertandang ke dalam
masjidku?
+Waalaikumsalam
w.r.t. Maafkan hamba, tuanku. Bukan hamba tidak sudi bertandang ke dalam, cuma
hamba selesa berada di luar ini sebentar. Tidak enak rasanya, bertamu ke dalam
dengan wajah berduka hamba sebegini. Cukuplah sekadar di anjung. Patutlah Si
Biru tersenyum manis sekali malam ini, tuanku berada di dalam rupanya.
-Bintang, tidak
usahlah ber’hamba’ dan ber’tuanku’ denganku. Aku dan engkau adalah hamba kepada
Allah. Ini rumah Allah, walaupun nama masjid ini dinamai sempena namaku Sultan
Ahmad, aku lebih selesa ber’kau’ dan ber’aku’ denganmu. Lagipun engkau adalah
sahabatku, dan kita bukan berada dalam urusan rasmi di Istana Topkapi kan? Apa
yang engkau lakukan di sini dengan wajahmu yang tidak berkedipan seperti
bintang-bintang di langit malam ini.
+Ahmad, aku cuma
bintang di bumi. Boleh malap dan terang pada sekian dan sekian waktu.
-Aku tidak menyoal
tentang itu, Bintang. itu cuma kata-kata
orang yang sedang sakit dari dalam. Aku tanyakan jiwamu itu, aku yang waras ini
duduk di sisimu akan cuba memberi nasihat andai ia boleh membantu melunturkan
kekusaman pada wajah kau. Ayuh Bintang, persilakan berkongsi denganku.Aku sudi
mendengarkannya.
+Aku malu mahu
menceritakannya kepada engkau, duhai sahabatku. Kalau perihal engkau sendiri
pun aku sudah tidak bersemangat untuk dikongsikan dengan para tetamu. Fakta demi
fakta yang sama aku ulangi saban hari. Aku tidak mahu kebosanan melanda jiwaku,
aku mahu keterujaan dulu yang aku miliki tersemat setia di jiwaku.Ingatkan
pertama kali dulu aku datang ke negeri ini, engkau menyambutku di masjidmu ini.Engkau
lihatkan keterujaan ketika itu, apa ada kini di wajahku? Aku tidak mampu
membawa keterujaan itu lagi bersamaku ketika aku mengiringi para tetamu ke
seluruh pelosok kota Istanbulmu ini. Berkali-kali aku hadir ke masjid ini,
bercerita perihal yang sama, setiap hari begitu. Sama setiap tetamu.Sama hingga
aku tak temui semangat pada perkejaan yang aku cintai ini.
-Bintang, jadi
engkau pun bosan bertemu ku di sini?
+Tidak begitu Ahmad,
aku berbahagia bertemu. Tidak semua orang boleh bertemumu, apatah lagi duduk
berdua begini, duhai sultan.
-Aku ingin sekali
tahu seperti apa perihalku, yang kongsikan kepada para tetamu yang bertandang
ke negeriku ini. Bintang, apa yang membuat engkau datang ke pangkuan masjidku
khususnya dan bertandang ke daulahku ini amnya. Ceritakannya kepadaku.
+Rasa ingin tahu
yang dalam, ia cita-citaku sejak kecil lagi untuk bermusafir ke daulahmu.
Masjid ini. Masjid ini memesona indera mata dan hatiku, tertulis di sebuah
foto, “Masjid Biru, Istanbul”. Ia salah satu antara foto-foto permandangan yang
aku kutip tika menemani bapakku mengumpul barang-barang buangan untuk dikitar
semula. Girang memotong dan menampal ke dalam buku mahupun bingkai besar. Waktu
kemuncak kegembiraan bagiku adalah bulan November dan Disember. Masyarakat
bandar pasti menggantikan peralatan sekolah anak-anaknya dengan yang baru, dan
pejabat-pejabat metropolitan pasti membuah semua kalendar-kalender setelah
tahun berganti yang baru. Lumayan banyak tangkapan foto-foto aku gunting,
kumpul dalam satu kotak.Bapakku pernah menghadiahkan bingkai besar yang dia
temui dalam longgokan sampah sarap, aku sematkan foto-foto landskap dan
panorama itu di dalamnya.Tergantung indah dan kemas di dinding kayu rumah kami.
Dari memori dan koleksi itu, aku menemukan cita-cita pengembaraanku dan
fotografiku.
-Sebenarnya, kau
telah menemukan jawapannya. Lihat, muka engkau berubah, ceria.Nada gembira
terlihat semasa bercerita kepadaku.Begitulah sehrusnya wajahmu ditampilkan
kepada para tetamu.Seceria juga penceritaan itu.Kenangan itu cuma berlaku
sekali kan? Benar mustahil bagi kau untuk memenukan perasaan yang sama, ia
datang cuma sekali. Tetapi, bersama-sama tetamu dan meraikan mereka juga bakal menjadi
kepingan-kepingan memori baru sebenarnya, cuma engkau perlu hadirkan ikhlas,
ikhlas yang tidak memudar. Maka perbaiki niat dan ikhlas itu, siram dengan
warna-warni semangatmu. Memulai kerjaanmu dengan hal ini setiap pagi, sematkan
bahawa kerjaanmu ini lillahi Taala.
+Benar itu,
keiklasan ini tidak aku telitikan lagi. Aku fikir mengejar impianku itu sudah
cukup, Ahmad.
-Tidak cukup kan
sekadar di sini? Merencana datang ke Istanbul, kemudian apa? Adakah impianmu
cuma itu, Bintang? Apalagi? Apa cukup, sekadar untuk dirimu? Impianmu itu
indah, tapi ia akan malap kalau cuma untuk diri engkau sendiri. Ia boleh bergelermapan
seperti namamu, Bintang, jika engkau lakukannya untuk ummah. Ahah, sibuk
bersama tetamu hingga tidak datang usrah bersamaku? Patutlah sudah lama tidak
melihat engkau bermalam di madrasahku. Jangan-jangan engkau sudah lupa,
kompleksku ini terkandung madrasah di dalamnya ya? Hehehe. Bintang, kita kan rantai
perjuangan, kita juga adalah penggerak ummah. Memberilah kepada ummahmu di
dunia, hakikatnya untukmu di akhirat nanti.Dalam kondisi engkau ini, aku
nasihatkan engkau membuat persediaan, persediaan yang akan membuatkan diri
engkau turut teruja untuk berkongsi bersama tetamu. Engkau akan bersemangat
menziarahi banyak tempat, kerana persediaan itu akan membuat engkau ingin tahu
lagi dan lagi. Bosan akan menjauh tertepis oleh engkau yang baru.
+Faham.
-Jadi, gilap
dirimu. Semakin hari semakin bersinar. Menyinari orang lain juga. Lakukan
pembacaan. Tambah lagi pengetahuan kau dan raikan kegembiraan tetamu. Misalnya,
bezakan diri engkau dengan ‘trip organizer’ yang lain. Aku tidak mahu para
tetamu itu datang ke masjidku, cuma mengetahui maklumat asas tanpa memahami. Pulang
tanpa apa-apa, sekadar fakta. Masjid ini
dinamai sempena nama Sultan Ahmed I dan siap terbina pada tahun 1616. Juga
dikenali sebagai masjid biru kerana kebiruan dinding-dinding dewan solatnya.Sekitar
20 ribu lebih kepingan jubin dengan pelbagai corak. Kubah utama ini bersaiz
sekian dan sekian.Ia disokong oleh 4 tiang gergasi ini. Lihat, di bahagian
kanan masjid, itu tempat khusus kepada bilal untuk melaungkan azan, ada mimbar
di hadapannya, tinggi sekali. Beginilah gambaran kepada masjid Uthmaniyyah yang
lain. Yang membezakan masjid ini dengan masjid yang lain adalah 6 menaranya. Inilah
salah satu senibina masjid Uthmaniyyah yang terkenal hingga menjadi mercu tadi
bagi Turki di mata dunia…. Sama dan sama, setiap hari. Mereka boleh mendapatkan
maklumat itu semua dengan membacanya dari buku-buku fakta dan buku-buku rujukan
perlamcongan.Bagiku, engkau akan jadi berbeza dan tepatnya pada kata memberi
dengan berkongsi cerita disebalik semua fakta itu. Benar tiada fakta makanya
tiadalah penerangan bukan?
+Bagaiamana
maksudmu, Ahmad?
-Begini, kita
bukan memberitahu pada erti ‘memberitahu’, tetapi memberitahu pada erti ‘menjual’.
Memberitahu itu cuma mendaratkan maklumat di kepala-kepala. Cuma di situ, diam
dan akan hilang. Menjual itu, terserap hingga benak kepala, terbawa dalam
fikiran hingga terbenam dan tumbuh segar menjadi buah fikir dan buah zikir. Misalnya
begini, aku memberikan contoh untukmu Bintang.…. dunia senibina Islam membawa masuk konsep senibina kubah dari Hagia
Sophia yakni senibina Rom, kerana rekabentuk kubah adalah sangat baik dalam
pengawalan lantunan bunyi. Suara imam yang memimpin solat, sorang perbualan
kita, kalimat-kalimat zikir dari para ahli ibadah, dan sesi tilawah Quran di
hujung masjid semua tidak bercampur aduk dan bergema di seluruh sudut masjid
ini kan? Itulah keajaiban rekabentuk kubah. Namun Islam, tidak mengambil konsep
oleh bukan Islam semudah itu, pasti diambil setelah pertimbangan ke atas banyak
hal terlaksana. Maka kerana istimewa apa lagi rekabentuk kubah ini? Kubah
gergasi ini cuma disokong oleh 4 tiang gergasi, maka kita boleh lihat keluasan
yang amat pada lantainya tanpa batas tiang. Bermakna, muslimin muslimat boleh
membentuk saf-saf solat lurus tanpa tiang membatasi saf. Dan lebih bermakna
lagi, bahawa islam menyantuni hal-hal baik yang dibawa oleh mereka yang bukan
beragama Islam, dan tidak membawa masuk pula elemen-elemen yang tidak baik.
Pada siang hari pula, kaca-kaca yang ada disamping kubah gergasi ini pula
menjadi platfom sinaran mentari menerangi segenap ruang masjid, bergabung
khidmat bersama kaca-kaca yang ada pada tingkap masjid yang berjejeran keliling
pada dinding masjid ini. 4 tiang pendokong turut diberikan simbolik tersendiri,
iaitu Khalifah Arrasyidin yang empat mendokong kubah yang satu iaitu simbolik
kepada baginda Rasulullah s.a.w. Sekarang engkau faham duhai sahabatku,
Bintang?
-SubhanAllah, aku
mengerti Ahmad. Sungguh kata-katamu memberi inspirasi.Patutlah usiamu 14 tahun
bukan alasan bagimu untuk menolak warisan tampuk pemerintahan dari bapamu. Sultan
termuda dalam sejarah Uthmaniyyah menjadi Sultan Turki, dan termuda juga
menjadi Khalifah Islam bagi bumi ini.
+Sudah menjadi
amanah bagiku, Bintang. Engkau sendiri adalah amanah bagiku juga.Dan engkau
juga punya amanah kepada diri sendiri dan ummah, raikanlah orang-orang yang
hadir di keliling kita.Seperkara lagi, membaca itu jalan mendapatkan ilmu. Bagi
mengekalkan rasa ingin tahumu itu, engkau pasang soalan-soalan di minda, lalu
carilah jawapannya. Maka, setiap kali engkau membawa tetamu menziarahi ke
sesuatu tempat, engkau pasti tidak sabar berkongsi hal yang baru hari demi
hari. Sebagai contoh, anjung masjid yang kita duduk ini, mengapa arkitek
Uthmaniyyah merekanya sebesar ini? Pasti ada jawapannya. Kemudian raikan
tetamumu mengikut minat, bidang kerja dan padang ilmu mereka. Satu kumpulan
mahasiswa datang bertandang, dalam dada mereka penuh ilmu-ilmu kejuruteraan. Persediaan
engkau juga begitu, persiapkan diri dengan pengetahuan kejuruteraan. Bereti
engkau tidak bicara sendiri, boleh menjadi perbincangan dua hala lagi. Sekumpulan
kecil bapak-bapak dari Jawa misalnya, datang ingin tahu soal hubungan Uthmaniyyah
dengan Indonesia. Maka engkau persiapkan pula maklumat-maklumat hubungan
antarabangsa antara dua negara ini, aturkan pertemuan mereka bersama tokoh-tokoh
tertentu.
-Faham, Ahmad.
Sungguh aku berterima kasih denganmu. Atas kesudianmu sudi memberi nasihat
kepadaku.
-Sudah menjadi
tanggungjawab seorang sahabat, Bintang. Menjawap
permintaan nasihat dari sahabatnya.Aku berlalu dahulu. Isteriku, Kosem sedang
menantiku di permakaman itu.
-Persilakan duhai
sultan.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
No comments:
Post a Comment