Saya menyesal tak tulis travelog masa travel!

Rasa nak nangis tertahan-tahan bila folder foto travel dalam simpanan hangus hilang macam tu je. Laptop kena format! Tak buat duplicate folder online! Banyak lagi alasan. Tinggal secebis dua saja foto dalam Instagram, Facebook, atau dalam memori telefon yang juga akan bakal hilang. Nak ingat memori-memori travel lepas macam mana?. Seminggu dua lepas travel boleh lagi ingat. Nangis dah sekarang.  Kerana kenangan semakin pergi, mereka menjauh, merajuk sebab tak ditulis, dirakam dan disimpan kemas.

Sebelum kita travel tu, jom kita beli buku kosong satu, bubuh dalam beg dengan sebatang pen dan tape kertas sekali. Tak sempat sangat beli masa kat airport okay.  Nanti tengah travel nganga nak cari buku kat mana kan? Kenapa kena bawak buku satu? Semestinya kita nak menulis, mencatat, merakam dan segala macam hal tentang buku! Okay beli satu cukup.

Apa fungsi sebuah buku?
1.      Kita boleh catat segala macam info dan tips serta maklumat sebelum travel. Kita sebagai traveler nak kurangkan penggunaan masa untuk menghadap telefon. Canggih macam mana pun, ia akan cepat habis bateri lagi-lagi masa winter. Kurangkan hal lain telefon selain fungsi merakam foto. Lepas bubuh niat, nak buat apa di destinasi tu, dapatlah kita fokus nak cari maklumat apa kan?. Catat dalam buku ini. Hal ini akan mengembangkan lagi pengetahuan kita sebelum pergi, lagi mengujakan kita dengan pelbagai pengetahuan nanti semasa berada di destinasi. Tak menggelabah, atau ternganga tak tahu apa sejarah dan pengetahuan umum. Moh kita cuba!.

2.    Macam saya suka buat banyak hal catatan dan tampalan dengan buku

·         Maklumat penerbangan atau keberangkatan kenderaan lain pergi dan pulang
·         Waktu solat 5 waktu atau waktu buka puasa, ibadah dalam mazhab lain
·         Destinasi makanan halal dan masjid
·         Budget harian di sana
·         Barang cenderamata atau kiriman
·         Spot-spot menarik dan penting
·         Peta dah print, tampal siap-siap
·        Rangka jadual perjalanan, beli simkad kat mana, hantar sumbangan di mana dan lain-lain
·         Kaedah atasi kes kecemasan, kedutaan dan lain-lain
·         Nombor telefon penting di tanah air dan destinasi
·         Maklumat penginapan dan alamat

3.      Ya saya faham, telefon dah canggih sangat. Boleh bawak power bank untuk cover bateri. Banyak App boleh guna. Okay, buat segala hal dalam telefon, tapi jimatkan penggunaannya nanti. Buku dan telefon saling duplicate antara satu sama lain. Lepas puas catat maklumat sebelum travel, saya taknak melepaskan waktu berejam-jam di airport dengan mengagumi keindahannya sahaja atau melihat beribu ragam manusia yang meninggalkan dan ditinggalkan. Saya akan mencatit segala macam rasa keterujaan, cemas, gembira dan kesyukuran di dalam buku. Waktu paling teruja nak menulis travelog adalah sebelum terbang dan sehari dua perjalanan awal. Jangan lepaskannya. Ayat-ayatnya pasti lebih berbunga dan panjang lebar dan di hari akhir hanya tinggal point-point penting saja. So, mulakan!

4.      Apa fungsi tape kertas tu? Tape itu saya gunakan untuk tampal segala macam resit, tiket masuk, tiket terbang, kulit gula-gula, kulit plastil roti dan aiskrim, daun autumn sehelai dua, dan segala macam yang boleh ditampal. Tape kertas mudah dikoyak tanpa perlu menggunakan gunting dan mudah dikendalikan. Mestilah tiket flight, feri atau keretapi menjadi tampalan pembukaan travelog! Teruja tahu, lepas je naik ke langit magika, tampal tiket flight. Pen menari-nari di ketinggian ribuan kilometer. Kisah wayang langit tanpa batas ditulis tentangnya, movie adventure mahupun lagu-lagu yang tiba-tiba kena dengan mood travelling pun dicatat, bubuh lirik sekali. Kalau rajin sangat, menu apa makan pun siap ditulis dengan tampal kulit coklat KitKat atau tisu yang ada cop Etihad atau Qatar Airway contohnya. Sanggup guna tisu lain sebab nak tampal buat kenangan.

5.      Masa kita terbang, mesti ada karung muntah kan? Kadang kantung tu pun saya simpan tampal dalam travelog. Sayang! Sesekali terbang. Kalau muntah kena korbankan jugak. Tak pun minta orang sebelah, satu untuk kenangan dan satu lagi untuk masukkan segala macam benda yang bakal ditampal, namun tangan dah penat menggarang sampai tak larat nak tampal. Kantung ni berguna mengumpulkan segalanya, daripada ia bersepah di seluruh bagasi, beg tangan dan beg galas. Serabut rasa sampai akhirnya kenangan kecil-kecilan itu dilontar buang ke tong sampah.

6.      Tampalan ini semua menjadi reminder saya. Sempat menulis boleh karang siap-siap sebelah tiket masuk muzium atau resit kedai Kebab yang sedap. Tapi in case saya tak sempat, saya akan tampal dahulu di buku travelog, dan bubuh sikit point, supaya saya boleh tulis nanti sebelum tidur dan waktu terluang lain. Usahakan untuk tulis selagi mood travelling masih ada, kalau boleh tulis usai sahaja seharian menikmati perjalanan. Semakin kita bertangguh semakin banyak maklumat berselirat dalam kepala. Kalau sekadar tampal juga masih menjadi memori setelah mengembara, namun seminggu selepas travel masih okay, namun keterujaan telah pun berlalu pergi. Tulis ayat biasa-biasa sahaja, menitikberatkan bahasa akan menggundang putus asa di pertengahan.

7.      Kadang kita berjumpa orang penting, mudah untuk kita mencatit segera hasil perbualan. Atau mencatit direction dari orang yang membantu kita. Makcik pakcik tua tak tahu guna telefon canggih sangat, atau kawasan pendalaman boleh jadi tidak lagi menggunakan telefon. Tapi mereka tahu guna pen!. Lakarkan peta dan kunci-kunci petunjuk jalan pada buku travelog. Ia akan kekal sebagai salah satu memori indah. Dan mudah bagi kita nak melakar sesuatu bagi melancarkan bicara ‘itik dan ayam’.

8.      Juga travelog menjadi kegemaran abang dan kakak yang suka buat ayat-ayat manis dn berpuisi segala. Saya percaya, menulis puisi dengan pen melebihi nikmatnya menaip dengan telefon sahaja. Travelog juga boleh jadi catitan ucapan selamat oleh orang yang kita temui. Semasa saya menziarahi rumah-rumah teman, ibu mereka turut menukilkan ucapan pada travelog saya walaupun saya tak faham bahasanya, namun saya percaya ada keikhlasan doa dari catitannya. Doa seorang ibu. Boleh jadi, para presenter paper lain, keluarga angkat atau tokoh hebat yang kita ketemu.

9.      Semasa travel, bukan main banyak lagi kan kita mengaut banyak pamplet? Lepas tu rasa nak buang sebab bersepah dan menyemakkan bagasi. Pulak bagasi dah padat. Jangan buang awak semua kertas-kertas tu, ada ilmu yang kita tak sempat baca kadang. Atau boleh kita bawa balik untuk dikongsi bersama kawan-kawan yang bakal travel ke destinasi yang sama kan? Jadi, kurangkan berat beg dengan koyakkan bahagian penting pamplet, tampal mana yang patut saja. Kalau pamplet tu semua maklumatnya berguna, haruslah bawa pulang, nanti boleh kita sisipkan dibelakang travelog atau binding semua menjadi buku, jadi tak bersepah meja kita di rumah. Kedua-dua pamplet dan travelog kita boleh jadi rujukan. Maksudnya ktia dapat buat satu kebaikan kepada traveler lain!

10.  Di akhir perjalanan, di dalam pesawat juga akan  menjadi momen yang sangat mengujakan untuk pulang atau sangat menyedihkan sebab tak sampai hati nak pulang, tak puas travel. Tambah kesedihan juga sebab tak dapat siapkan travelog hehe. Menyesal dah tak ingat itu ini, takut hilang banyak hal. Maka hargai penyesalan tu sebelum terlewat. Siapkan travelog mana yang sempat. Sikit pun jadilah, ada usaha memaknakan anugerah pengembaraan  daripada kekesalan muncul di kemudian hari.

Dah lama memang saya nak kongsikan sedikit tips menulis travelog perjalanan, Alhamdulillah saya berkesempatan kali ini. Hilang sebuah beban di kepala, terbayar dek perkongsian ringkas ini. Mungkin kita ni belum hebat nak terbitkan buku travelog, tapi kita cukup bahagia dapat terbitkan perkongsian  travelog sendiri untuk diri sendiri dan orang sekeliling kita. Yang menjadi ukuran adalah makna ‘memberi’ oleh kita kepada ummat ini. Ya, saya menyesal tidak printing out foto-foto menjadi buku, banyak foto telah hilang. Ya menyesal juga kalah pada perasaan malas mencatit, banyak memori dalam kepala telah hilang.

Bila baca kembali travelog-travelog yang bertampal di sana sini, compang-camping dengan bentuk tulisan yang pelbagai, semua membuat saya ketawa dsan senyum lebar. Banyak memori dan maklumat perjalanan telah saya lupa. Lupa sama sekali sesuatu pernah terjadi. Juga mengumpan kembali banyak memori yang hampir lepas ke dasar lautan kehilangan. Saya sedih kerana tidak menulis dengan lebih baik. Ayuh menulis kita, penulisan memberi jutaan manfaat.

Menjadi traveler tegar bagi saya adalah traveler yang pergi dari masyarakat ke dada pengembaraan dan pulang membawa perkongsian kepada masyarakat kembali, sekurang-kurangnya untuk orang sekeliling kita. Selagi tidak berkongsi, sebuah perjalanan tidak lengkap, dan merasa berat di bahu akan bebanan hutang kepada masyakarat.


N Tang.




2 comments: