Di penghujung tahun 90-an.
Kami
berteduh di dalam satu pondok buruk. Mentari tercacak tepat di atas kepala,
bau-bau pelbagai aroma meruap ke udara. Air-air takungan yang sarat dan likat
tenang berjemur disejat ke langit. Bahang sekali.
Dari
hujung jalan, abuk-abuk kemerahan menderas berkepul-kepul di udara. Sebuah lori
hijau laju terhenjut-henjut dek batu kelikir yang kasar, semakin menampakkan
dirinya.
“Pak,
lori sampah dah datang!” jerit saya.
Bapak
membuang puntung rokoknya dan memperkemaskan topi, “kutip tin-tin, besi dengan
plastik ya. Kita nak jual harini. Buku-buku, pensil semua amik, boleh guna naik
sekolah nanti. Pakai topi, panas sangat ni”.
Abang
Sani dan Pandi pun mengemaskan kain penutup mulut bersiap sedia meredah
gunung-gunang sampah-sarap. Bukan kami sahaja, beberapa pakcik lain segera
turun mengerumuni lori sampah yang sedang memuntahkan isi perutnya.
Masing-masing
laju beraksi, pantas tangan bekerja. Plastik-plastik sampah dikoyak dengan
pencucuh, diselongkar segala isi. Saya tak kalah juga, walaupun kecil dan
terkadang tenggelam timbul menguis, saya mengumpul barang-barang pesanan bapak,
mata dan tangan meliar mencari sesuatu untuk diri sendiri juga.
Setelah
puas mencari dan melontar barang berguna keluar, kami segera melakukan
pengasingan. Mana-mana barang yang perlu dibawa pulang akan disisihkan ke sisi
motorsikal, besi serta tin dicampak ke arah longgokan yang menimbun sejak
berminggu-minggu di tepi pondok.
Tak
lama kemudian, taukeh ‘besi buruk’ datang melabuhkan lori mendekati longgokan.
Tin-tin buruk yang menggunung semakin susut jumlahnya, kami memunggah semuanya
ke dalam lori. Tinggallah tanah yang becak, bau karat yang pekat, dan air
takungan yang menguning.
Saya
terseyum puas menerima sedikit upah dari bapak. Kami berangkat pulang. Saya
memang suka turut serta dalam kerja kasar ini hasil ajakan bapak untuk
membantu, kononya saya suka kerja-kerja lelaki.
“Nilam! Pergilah mandi dulu, bau busuk satu
rumah! Ni bapak jumpa kalender tadi. Banyak gambar cantik-cantik. Ni kamus ni,
dah koyak tapi boleh pakai lagi ni. Buku-buku sekolah pun ada,” tegur bapak
sambil menumpahkan isi karung guni lagi.
“Banyaknya!!!”,
saya menjerit kecil.
Memang
buku-buku langsung diserahkan kepada saya, anak ini saja berminat dengan buku.
Anak lain pula berbeza minat, ada yang sukakan pakaian, barang tukar ganti
basikal, mainan, barangan sekolah, makanan dan lain-lain.
Saya
terpesona dengan kalander yang memaparkan foto-foto bangunan yang magis,
panorama berwarna-warni, tak pernah terlihat oleh saya. Saya menapis mana-mana
muka surat majalah yang perlu, lalu dikoyakkan supaya boleh saya berikan
bakinya kepada bapak untuk dijual kembali.
Memang
cuti hujung tahun yang dinantikan sedang berpesta ria. Banyak syarikat di
Pontian akan membuang banyak kalender dan majalah. Kalender di hujung tahun
pasti tidak akan berguna lagi untuk tahun berikutnya.
Manakala
orang-orang di bandar pun akan mengemas barang sekolah anak-anak untuk
digantikan dengan yang baru. Bapak juga kerap jumpa pelbagai jenis alat-alat tulis.
Allah menggerakkan kudrat bapak untuk memenuhi keperluan sekolah anak dalam
cara yang unik sebegini sekali.
Buku-buku
geografi dan peta pun antara buku yang bapak temui telah membuka mata saya
bagaimana melihat wajah dunia. Saya melihat betapa kecilnya tanah negara saya;
Malaysia berbanding seluruh muka bumi amnya. Pelbagai lautan luas terbentang
mengatasi keluasan daratan, dan mengelilingi beratus buah negara.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hari
demi hari, cuti saya semakin berakhir, buku-buku dengan genre, saiz, bahasa
yang pelbagai pula semakin menggunung tinggi. Ada juga buku resepi, buku-buku
berkisar tentang tamadun dan sejarah, buku tanaman dan macam-macam lagi.
Cuma
rak buku sahaja belum ada, pada satu sudut rumah, buku-buku yang ada cuma
disusun setingkat dua di atas lantai bersandarkan dinding kayu rumah sahaja.
Beralaskan
lantai simen yang sejuk, dan berbumbungkan atap nipah, saya berbaring di ruang
ini, teruja membelek satu muka demi satu muka surat perlahan-lahan. Walaupun
ada bahasa buku yang sukar saya fahami, saya sangat gembira memilikinya, satu
masa nanti saya akan mengerti juga apakah disebalik wajah-wajah setiap helai
kertas yang ada ini.
Tabungan
duit saya juga mendadak tambah. Saya dan adik sibuk memanfaatkan cuti sekolah
dengan mengikuti bapak bekerja di merata kebun-kebun milik orang lain.
Sekembali
dari kerja dan usai mandi, saya akan terleka lagi di sudut itu menggunting-gunting
majalah dan kalender hingga foto-foto memenuhi beberapa kotak kasut. Ada
foto-foto memberi gambaran suasana musim salju dan musim lain, ada foto mempamerkan
bangunan keajaiban dunia.
Suatu
hari, bapak memberikan dua bingkai iklan rokok selebar depa tangan saya tika
itu. Foto-foto yang ada saya atur dan tampal kemudian membalutnya dengan
selembar plastik pembalut buku. Saya gantung bingkai gambar ini di dinding kayu
rumah. Melalui sebuah pameran foto ini, dapatlah rumah melihat dunia, dunia
telah datang bertandang menjadi tetamu.
Foto
‘Blue Mosque, Istanbul, Turki’ paling saya gemar sekali. Saya terpesona dengan
keindahan senibina bangunannya yang kelabu tapi dipanggil sebagai ‘masjid
biru’. Masjidnya tinggi sekali, kubah-kubah yang bertahta begitu indah diatur
secaara bertingkat-tingkat, kagum sekali.
“Nanti dah besar, aku nak beli kamera. Tangkap gambar sendiri. Pergi jalan-jalan tengok tempat cantik-cantik macam gambar-gambar ni semua,” saya melakar impian.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada
tahun 2017, saya mengeluarkan semua buku yang sudah terlalu lama terpendam diam
dalam kotak-kotak di bawah meja. Pada sebuah rak yang saya bangunkan dari
papan-papan terpakai beralaskan batu-bata bapak, saya mengatur kemas semua buku
dari masa lalu, termasuk buku-buku travelog kesayangan dengan azam dapatlah
juga saya menulis karya-karya begini.
Bapak saya tak seperti bapak orang
lain, itu yang saya rasa sejak dari kecil lagi. Pujian dan pujukkannya sangat
mahal sukar dibeli dengan senyuman dan kegembiraan kami, dan marah serta
herdiknya pula begitu murah sekali. Kata-kata bapak semuanya berunsur arahan,
tiada kasih sayang mengalir. Entah di mana letaknya kehormatan, kerana telah
hilang tenggelam dalam ketakutan sehari-hari hidup kami 13 beradik.
Hal
ini semua menjadikan kami semua dekat sekali dengan pelukan emak. Semua urusan
kami rujuk kepada emak, dan emak menyelesaikan segala macam hal dari kewangan,
kerohanian dan pendidikan.
Setelah besar dewasa kami mengerti
dan bersyukur, dalam aturan Tuhan, semua kelakuan bapak telah menjadikan kami
manusia sebenarnya. Dulu mungkin saya malu menceritakan kenang-kenangan saya
kepada kawan-kawan.
Kamus, peta dunia dan foto-foto yang
bapak dapatkan dari gunung sampai di ceruk dunia telah menjadikan saya seorang
jurugambar, mencatit nota-nota di sepanjang perjalanan dan pengembaraan
merentasi banyak negara orang. Kini, saya dapat menyelitkan buku travelog hasil
penulisan sendiri di dalam rak buku di rumah.
Terima kasih bapak.