Pergunungan Sampah


            Di penghujung tahun 90-an.

Kami berteduh di dalam satu pondok buruk. Mentari tercacak tepat di atas kepala, bau-bau pelbagai aroma meruap ke udara. Air-air takungan yang sarat dan likat tenang berjemur disejat ke langit. Bahang sekali.

Dari hujung jalan, abuk-abuk kemerahan menderas berkepul-kepul di udara. Sebuah lori hijau laju terhenjut-henjut dek batu kelikir yang kasar, semakin menampakkan dirinya.

“Pak, lori sampah dah datang!” jerit saya.

Bapak membuang puntung rokoknya dan memperkemaskan topi, “kutip tin-tin, besi dengan plastik ya. Kita nak jual harini. Buku-buku, pensil semua amik, boleh guna naik sekolah nanti. Pakai topi, panas sangat ni”.

Abang Sani dan Pandi pun mengemaskan kain penutup mulut bersiap sedia meredah gunung-gunang sampah-sarap. Bukan kami sahaja, beberapa pakcik lain segera turun mengerumuni lori sampah yang sedang memuntahkan isi perutnya.

Masing-masing laju beraksi, pantas tangan bekerja. Plastik-plastik sampah dikoyak dengan pencucuh, diselongkar segala isi. Saya tak kalah juga, walaupun kecil dan terkadang tenggelam timbul menguis, saya mengumpul barang-barang pesanan bapak, mata dan tangan meliar mencari sesuatu untuk diri sendiri juga.

Setelah puas mencari dan melontar barang berguna keluar, kami segera melakukan pengasingan. Mana-mana barang yang perlu dibawa pulang akan disisihkan ke sisi motorsikal, besi serta tin dicampak ke arah longgokan yang menimbun sejak berminggu-minggu di tepi pondok.

Tak lama kemudian, taukeh ‘besi buruk’ datang melabuhkan lori mendekati longgokan. Tin-tin buruk yang menggunung semakin susut jumlahnya, kami memunggah semuanya ke dalam lori. Tinggallah tanah yang becak, bau karat yang pekat, dan air takungan yang menguning.

Saya terseyum puas menerima sedikit upah dari bapak. Kami berangkat pulang. Saya memang suka turut serta dalam kerja kasar ini hasil ajakan bapak untuk membantu, kononya saya suka kerja-kerja lelaki.

 “Nilam! Pergilah mandi dulu, bau busuk satu rumah! Ni bapak jumpa kalender tadi. Banyak gambar cantik-cantik. Ni kamus ni, dah koyak tapi boleh pakai lagi ni. Buku-buku sekolah pun ada,” tegur bapak sambil menumpahkan isi karung guni lagi.

“Banyaknya!!!”, saya menjerit kecil.

Memang buku-buku langsung diserahkan kepada saya, anak ini saja berminat dengan buku. Anak lain pula berbeza minat, ada yang sukakan pakaian, barang tukar ganti basikal, mainan, barangan sekolah, makanan dan lain-lain.

Saya terpesona dengan kalander yang memaparkan foto-foto bangunan yang magis, panorama berwarna-warni, tak pernah terlihat oleh saya. Saya menapis mana-mana muka surat majalah yang perlu, lalu dikoyakkan supaya boleh saya berikan bakinya kepada bapak untuk dijual kembali.

Memang cuti hujung tahun yang dinantikan sedang berpesta ria. Banyak syarikat di Pontian akan membuang banyak kalender dan majalah. Kalender di hujung tahun pasti tidak akan berguna lagi untuk tahun berikutnya.

Manakala orang-orang di bandar pun akan mengemas barang sekolah anak-anak untuk digantikan dengan yang baru. Bapak juga kerap jumpa pelbagai jenis alat-alat tulis. Allah menggerakkan kudrat bapak untuk memenuhi keperluan sekolah anak dalam cara yang unik sebegini sekali.

Buku-buku geografi dan peta pun antara buku yang bapak temui telah membuka mata saya bagaimana melihat wajah dunia. Saya melihat betapa kecilnya tanah negara saya; Malaysia berbanding seluruh muka bumi amnya. Pelbagai lautan luas terbentang mengatasi keluasan daratan, dan mengelilingi beratus buah negara.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari demi hari, cuti saya semakin berakhir, buku-buku dengan genre, saiz, bahasa yang pelbagai pula semakin menggunung tinggi. Ada juga buku resepi, buku-buku berkisar tentang tamadun dan sejarah, buku tanaman dan macam-macam lagi.

Cuma rak buku sahaja belum ada, pada satu sudut rumah, buku-buku yang ada cuma disusun setingkat dua di atas lantai bersandarkan dinding kayu rumah sahaja.

Beralaskan lantai simen yang sejuk, dan berbumbungkan atap nipah, saya berbaring di ruang ini, teruja membelek satu muka demi satu muka surat perlahan-lahan. Walaupun ada bahasa buku yang sukar saya fahami, saya sangat gembira memilikinya, satu masa nanti saya akan mengerti juga apakah disebalik wajah-wajah setiap helai kertas yang ada ini.  

Tabungan duit saya juga mendadak tambah. Saya dan adik sibuk memanfaatkan cuti sekolah dengan mengikuti bapak bekerja di merata kebun-kebun milik orang lain.

Sekembali dari kerja dan usai mandi, saya akan terleka lagi di sudut itu menggunting-gunting majalah dan kalender hingga foto-foto memenuhi beberapa kotak kasut. Ada foto-foto memberi gambaran suasana musim salju dan musim lain, ada foto mempamerkan bangunan keajaiban dunia.

Suatu hari, bapak memberikan dua bingkai iklan rokok selebar depa tangan saya tika itu. Foto-foto yang ada saya atur dan tampal kemudian membalutnya dengan selembar plastik pembalut buku. Saya gantung bingkai gambar ini di dinding kayu rumah. Melalui sebuah pameran foto ini, dapatlah rumah melihat dunia, dunia telah datang bertandang menjadi tetamu.

Foto ‘Blue Mosque, Istanbul, Turki’ paling saya gemar sekali. Saya terpesona dengan keindahan senibina bangunannya yang kelabu tapi dipanggil sebagai ‘masjid biru’. Masjidnya tinggi sekali, kubah-kubah yang bertahta begitu indah diatur secaara bertingkat-tingkat, kagum sekali.

 “Nanti dah besar, aku nak beli kamera. Tangkap gambar sendiri. Pergi jalan-jalan tengok tempat cantik-cantik macam gambar-gambar ni semua,” saya melakar impian.



----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

            Pada tahun 2017, saya mengeluarkan semua buku yang sudah terlalu lama terpendam diam dalam kotak-kotak di bawah meja. Pada sebuah rak yang saya bangunkan dari papan-papan terpakai beralaskan batu-bata bapak, saya mengatur kemas semua buku dari masa lalu, termasuk buku-buku travelog kesayangan dengan azam dapatlah juga saya menulis karya-karya begini.

            Bapak saya tak seperti bapak orang lain, itu yang saya rasa sejak dari kecil lagi. Pujian dan pujukkannya sangat mahal sukar dibeli dengan senyuman dan kegembiraan kami, dan marah serta herdiknya pula begitu murah sekali. Kata-kata bapak semuanya berunsur arahan, tiada kasih sayang mengalir. Entah di mana letaknya kehormatan, kerana telah hilang tenggelam dalam ketakutan sehari-hari hidup kami 13 beradik.

Hal ini semua menjadikan kami semua dekat sekali dengan pelukan emak. Semua urusan kami rujuk kepada emak, dan emak menyelesaikan segala macam hal dari kewangan, kerohanian dan pendidikan.

            Setelah besar dewasa kami mengerti dan bersyukur, dalam aturan Tuhan, semua kelakuan bapak telah menjadikan kami manusia sebenarnya. Dulu mungkin saya malu menceritakan kenang-kenangan saya kepada kawan-kawan.

            Kamus, peta dunia dan foto-foto yang bapak dapatkan dari gunung sampai di ceruk dunia telah menjadikan saya seorang jurugambar, mencatit nota-nota di sepanjang perjalanan dan pengembaraan merentasi banyak negara orang. Kini, saya dapat menyelitkan buku travelog hasil penulisan sendiri di dalam rak buku di rumah.  Terima kasih bapak.

No comments:

Post a Comment