Siapa kata Pontian ni ceruk sangat?

Alhamdulillah buat pertama kalinya saya dan keluarga menerima tetamu; Arnold dari Belanda; dari kalangan cyclist, setelah beberapa minggu lepas saya membuka akaun di warmshowers.com; website khusus untuk hospatilati penunggang basikal secara percuma. 

Berbanding banyak daerah lain di Johor, saya akui Pontian tidak begitu popular dan kurang dikenali umum. Kadang orang lebih kenali Benut daripada Pontian itu sendiri. Juga Kukup dan Pekan Nenas, seolah-olah ketiga tempat ini terpisah atau terbentuk atas nama daerah sendiri.

Kenapa saya buka akaun untuk hospitaliti para pengembara? Pontian kurang menerima kunjungan dari orang luar. Jarang sekali saya melihat pelancong atau pengembara dalam sela masa saya tinggal di Pontian ini. Namun, saya melihat ramai cyclist melintas daerah ini dari Batu Pahat menuju ke Johor Bahru. Satu hari nanti juga saya mahu menjadi cyclist, kaedah pengembaraan yang baik untuk mendekati lokaliti. Jadi saya berharap usaha ini, dapat memberhentikan mereka sebentar dan menikmati apa adanya kampung Sanglang saya.

Selain saya sendiri gemar mengembara, terkadang merasa rindu untuk pergi dan mempelajari bermacam hal baru di daerah asing. Ini juga suatu kaedah yang boleh saya lakukan, pastinya masing-masing teruja berkongsi cerita dan pengalaman, pastinya ia mencambahkan buah fikiran yang baru. 

Saya juga ingin mengambil inisiatif ini untuk memperkenalkan daerah Pontian kepada umum. Saya ada membawa Arnold keliling Kampung Puteri Menangis, kampung contoh di sini. Daerah Pontian tersenarai sebagai daerah yang menghampiri kepupusan rumah limas, kampung ini telah berikhtiyar menjaga warisan turun-temuran rumah keluarga. Padan dengan gelaran ‘Kampung Paling Cantik’ di sini. Berderet-deret rumah banglo batu, rumah-rumah limas tak kurang mewarnai separuh daripada kampung. Kata tuan rumah, ada rumah dibina sebelum zaman Jepun lagi, rumah berusia 50 tahun ke belakang masih dapat disaksikan di sini. Banyak lagi kampung indah bercirikan rumah limas, mendekati sempadan Batu Pahat terutama kampung disepanjang Parit Madirono.

Saya juga berhajat untuk membawa Arnold menikmati keindahan ladang nenas di Parit Sikom, atau di sempadan jalan Kulai-Pontian atau di pecan Nenas sendiri. Saya berbangga menjadi sebahagian budak yang bermain parit air hitam, dan mengutip biji sawit di atas tanah gambut yang lembut diinjak dan melampiaskan keindahan paku-pakis yang meliar tumbuh. Kelebihan tanah gambut di Pontian, memjadikan nama Pontian sebagai antara pembekal nenas Asia suatu masa dahulu. Kini sebahagian lading sudah berganti dengan lading sawit, berbaki yang ada menjadi permandangan kesayangan dan memori besar kepada penduduk tempatan.

Arnold bercadang untuk meneruskan kayuhan ke Indonesia, katanya mahu menaiki feri melalui Singapura-Batam. Dia terkejut setelah saya memaklumkannya Pontian memiliki stesen feri di Kukup menuju ke Indonesia; Tanjung Balai. Saya pernah beberapa kali menikmati perjalanan feri ke Tanjung Balai. Orang Pontian yang masih menabung untuk ke Negara luar, namun terlalu ketagihan untuk travel, persilakan ke Tanjung Balai. Nikmati kerendahan jiwa pulau itu, panjangkan langkah dengan mengambil feri demi feri melintasi Kepulauan Riau hingga ke tanah Sumatera. 

Dari Kukup menuju ke Batu Pahat, kita bakal menempuh jalan tepi laut yang sangat panjang. Yang menarik diantara kedua titik ini adalah, sungai-sungai yang merintangi jalan. Kerap saya menikmati Sungai Pontian Besar, Pontian Kechil, Ayer Baloi, Sanglang dan Sungai Pinggan, namun masih mengujakan hati saya untuk melihat kehidupan yang ada padanya. Rumah-rumah yang terapung, kapal-kapal laut dalam yang berlabuh, kapal kecil yang memenuhi ceruk semuanya terlalu besar untuk dihargai nilai keberadaannya. 

Sebelum menghampiri Kukup pula, apa lagi adanya Pontian? Tanjung Piai pastinya tak usah dilepaskan, perkara biasa orang tempatan jarang pergi seperti saya ini. Kali pertama kunjungan, memang mengujakan, ia mengembalikan memori kanak-kanak saya. Saya mengekori bapak, emak dan abang mengumpul siput sedut, longan dan lokan di hujung kampung ketika air laut mulai surut. Banyak siput melekat pada dahan batang pokok bakau. Selain menjadi tempat paling Tenggara di Asia, Tanjung Piai juga menjadi hutan bakau terpelihara, contoh kepada anak-anak generasi akan datang tentang habitat unik ini, habitat yang tidak ditemukan di hutan umum.

Tentang bandar Pontian, cuma beberapa buah rumah kedai sahaja yang kelihatan memiliki identiti Pontian, atau nilai sejarah. Jauh tertinggal berbanding bandar Muar dan Batu Pahat. Namun, dibalik bangunan batu ini semua, ada jeti-jeti yang sangat cantik. Pernahkah kalian melalui ceruk rumah kedai dan menemukan jeti-jeti indah berdekatan dengan Stersen Bas Pontian Lama hingga ke Sungai Pontian Besar? Dan kekerdilan berada di bandar Pontian semasa kecilnya, banyak memotivasi saya pergi menjelajah dunia yang lebih luas. Beerti, semua lokasi tidak didatangkan dengan kesia-siaan, ada kehidupan yang terkandung mengajar makna hidup. 

Berkata tentang Pontian ini, namanya berasal dari perkataan ‘Perhentian’. Ia pernah menjadi perhentian oleh para pendatang Indonesia dahulu kala ketika mendatangi Tanah Melayu. Kini pun, boleh diakui ia adalah titik rehat bagi perjalanan Johor Bahru menuju ke Batu Pahat atau sebaliknya. Benut misalnya, ia menemukan para pengunjung dari arah Pontian, Batu Pahat dan Kluang. Benut digelar sebagai ‘Pekan Cowboy’ kerana keberadaannya menjadi titik transit sejak berpuluh tahun lalu, boleh jadi beratus tahun.

Ada banyak sebab lagi, saya percaya Pontian memiliki keistimewaannya tersendiri yang belum diketahui umum. Saya yang kerdil ini sekadar berkongsi, dan pastinya ada lebih ramai lagi orang ketahui kemanisan daerah ini. Saya berbangga menjadi anak Pontian. 

Kadang tangan menggatal mencari idea pengembaraan murah dari Pontian. Tahun ini saya ketemukan idea, mengembara dengan feri dan jalan darat menuju ke Indonesia dari Pontian. Dari Kukup Pontian menuju ke Pantai Kukup, Jogjakarta. Cuma sediakan wang feri, cari penginapan percuma dan untuk menjadikan kenderaan juga percuma, saya perlu membeli basikal. Tinggal cari rakan yang berminat kayuh bersama.

Kedua, dari Sanglang, yang umumnya bermaksud ‘sarang helang’ di tebing-tebing sungai dahulu, saya mahu mengembara ke Sanglang, Perlis. Dari daerah paling hujung di Johor menuju negeri paling utara. Cita-cita anak Pontian, moga menjadi kenyataan suatu hari nanti. 

N Tang




No comments:

Post a Comment