Warmshower #4 Felix, Orang Korea



            Orang China dan Jepun sangat  suka meminum teh sejak beratus tahun dulu. Kita juga faham mereka sangat menggemari ubat-ubatan secara tradisional, termasuk pelbagai jenis teh yang dipercayai amat baik untuk kesihatan. Umum mengetahui bagaimana teh dihidangkan di China dan Jepun, penuh adat dan adab.

Tapi mengapa, masyarakat Korea yang serumpun mata sepet ni minum kopi? Korea diapit oleh tanah besar China dan Jepun, mengapa juga budaya pemanduan mereka berbeza? Kenapa Korean pandu kereta sebelah kanan, padahal Korea pernah dijajah oleh Jepun?

Sebabnya, Korea menerapkan budaya hidup Amerika ke dalam kehidupan mereka sejak merdeka. Kerajaan Korea telah memohon bantuan Amerika bagi menyelesaikan konflik diplomatik dengan Jepun hingga terangkatnya kemerdekaan dari cengkaman Jepun selama kira-kira lebih 30 tahun. 

Penjajahan Jepun di Korea bermula pada tahun 1910, lebih kurang keadaannya di Malaysia dan kebanyakkan negara Asia Tenggara. Maka, banyak rakyat Korea berhijrah ke Amerika bagi memperbaiki hidup.

Menurut Felix, di Amerika bukan sahaja terdapat China Town, malah Korean Town di Los Angeles (LA) dan New York (NY). Felix seperti berada di Korea tika mendatangi Korean Town di LA. Semua orang boleh berbahasa Korea pastinya, komuniti pula majoritinya adalah Korean. Malah, bukan sahaja banyak kedai-kedai menjual barangan Korean, signboard Mc Donald juga dieja dalam tulisan Korean. Berbeza dengan Mc Donald di Korean sendiri ditulis dalam bahasa Inggeris.

Kenapa Felix Yeong-Jun Jo boleh berbahasa Inggeris dengan baik? sebab Felix terpilih menghadiri program pertukaran pelajar di salah satu buah universiti di NY. Selama 8 bulan di sana, Felix belajar bahasa Inggeris dan pulang ke Korea sebagai tenaga pengajar Bahasa Inggeris secara sambilan di kolej-kolej.

Pengalaman itu juga telah membuka mata Felix untuk keliling dunia dengan basikalnya hingga kini. Budaya berbasikal ini tidaklah begitu dipratikkan sebanyak masyarakat China dan Jepun. Bagi Korean, aktiviti ini adalah untuk masyarakat senior untuk mengisi masa-masa pencen. Jadi tidak ramai pengayuh basikal dari Korea yang membuat pemgembaraan seperti Felix. Tetapi, Korean antara masyarakat yang paling banyak mengamalkan budaya berjalan kaki.

Menurut Felix lagi, dia menggambarkan kehidupan di bahagian Barat Amerika seperti di LA adalah lebih baik. Segalanya kemas dan masyarakatnya sangat ramah. Jumlah penduduknya juga tidak rapat, dan rumah masing-masing masih memiliki beberapa meter tanah untuk parker kereta dan taman. Manakala di bahagian timur seperti NY, segalanya serabut, padat dan menyesakkan dada.

Felix mengiyakan pandangan saya bahawa Amerika mempunyai terlalu banyak Fast Food. Yang mengejutkan lagi, Korea pula memiliki kira-kira 38 ribu kedai makan yang menghidangkan menu ayam. Hanya di Korea sahaja. Berbanding jumlah cawangan Mc Donald di dunia adalah sekitar 35 ribu. Di sekitar blok rumah Felix sahaja ada lebih 5 kedai makan ayam.

Selain ayam sebaik lauk-pauk, makanan asas mereka adalah nasi dan sup. Keduanya wajib ada dan dilengkapi lauk-pauk. Tapi Felix akui, dikalangan rantau mereka, beras Jepun adalah yang paling sedap.

Dengan berani dan jujurnya saya juga bertanya tentang babi. Sebab saya mahu gambarkan rasa babi itu seperti apa hingga begitu disenangi oleh mereka sebagai menu. Seperti rasa daging kuda, tetapi lebih kenyal. Daging kuda pun saya belum pernah makan, dikatakan baik untuk perubatan orang berpenyakit asma.

Korean terkenal dengan makanan jalanannya seperti barbekiu. Sebelum ini saya percaya, pastinya mereka menikmati makanan panas di jalanan hanya pada musim sejuk. Tetapi tidak di Korea, kadang lebih banyak aktiviti makan begini berlaku pada musim panas. Ia adalah gaya hidup tak bermusim.

Oh, pastinya mereka makan sambil minum berbotol-botol arak. Felix sendiri pernah banyak kali minum hingga mabuk, pulang ke rumah sekitar jam 6 pagi. Pulang selewat itu kerana, pemabuk tidak dibenarkan menggunakan khidmat teksi. Kerana banyak kejadian kecurian berlaku kepada pemabuk, atau pemabuk muntah. Boleh jadi juga pemabuk atau pemandu saling mengambil kesempatan secara sentuhan fizikal.

Maka, pemabuk lebih rela mabuk hingga 6 pagi di mana perkhidmatan keretapi mula menjalankan tugas. Mungkin boleh muntah jug,a tapi tidaklah begitu merbahayakan orang lain dan diri sendiri kerana ramai orang boleh menjadi saksi jika ada jenayah dilakukan oleh pemabuk.

Budaya minum arak sukar dibendung oleh kerajaan, kerana ia sebahagian gaya hidup secara tradisi. Arak asli mereka yang terkenal adalah Cheongju (wine beras) dan Soju (sejenis liquor). Katanya peratus kandungan alkoholnya tidak sebesar arak Inggeris.

Tetapi, tidak ada satu pun kasino wujud di Korea. Dasyat sungguh, kerajaan melarang keras aktiviti judi. Walapun banyak pub atau kedai alkohol, Korean sangat bekerja keras untuk beroleh wang untuk hidup, bukan sewenang-wenangnya beroleh dengan jalan perjudian.

Sebagai pembangun café, saya pun bertanya suasana café di Korea. Ya, Korean menghidangkan kopi di sana bersama makanan ringan seperti café di Amerika dan Eropah. Tak ada teh, sekalipun emak Felix di rumah bersarapan dengan kopi saban hari. Oh ibunya berumur lewat 60-an cuma seorang suri rumah, tidak seperti kebanyakkan wanita Korean sekarang yang turut bekerja di pejabat seharian. Katanya, 40 tahun kebelakang wanita mengandung akan diberhentikan kerja oleh syarikat, kerana mereka akan mengambil cuti rehat yang panjang. Tidak seperti hari ini, semua syarikat memberikan cuti bersalin.

Emaknya cuma ada Felix sebagai anak tunggalnya. Saya terkejut. Kebanyakkan Korean cuma memiliki seorang dua anak sahaja. Walaupun kadar peratusan warga emas jauh lebih besar berbanding orang tua, dan kerajaan menggalakan rakyat terus mengembangkan keluarga, Korean tetap selesa hidup begini. Kerana kadar hidup di Korea begitu tinggi. Ibubapa perlu mempertimbangkan segala urusan pendidikan dan kehidupan harian untuk 10 ke 20 tahun ke hadapan.   

Soal umur pula, Felix berumur 26 tahun semalam. Tapi 25 tahun mengikut kalender Korea. Seperti sebahagian rakyat China juga, mereka menganggap usia bayi dilahirkan adalah satu tahun. Kerana selama berada dalam kandungan ibu telah dikira sebagai 12 bulan terawal.

Felix tinggal bersama emak dan bapaknya di Busan. Busan pula terletak di bahagian selatan Korea Selatan. Felix tak pernah menonton filem Train to Busan pun, yang sangat terkenal itu. Ia adalah filem Korea pertama berunsurkan zombie, dan meletopkan pasaran hiburan antarabangsa.

Dan saya pun tidak biasa menonton filem dan drama korea, apatah lagi menikmati lagu-lagunya yang berkumandang di corong radio. Pertama sebab dulu lakonan Korean agak menjaga batas pergaulan dan adab lakonan. Sekarang pula drama romantisnya terlalu banyak episode untuk dihabiskan dalam masa singkat. Tapi filem kungfu, sejarah dan aksinya boleh saya pertimbangkan untuk tonton.

Korea juga tidak asing lagi menjadi destinasi pelancongan masyarakat Malaysia, jadi macam-macam maklumat online mahupun travelog ada di mana-mana sahaja. Jadi saya beranggapan, negara Korea boleh berada jauh di belakang barisan negara yang ingin saya lewati kelak.

Setelah bertemu Felix, pemikiran saya mula terbuka dan tertarik dengan Korea itu sendiri. Korea Selatan tidak sebesar mana sangkaan saya, cuma 500 km jaraknya dari Utara ke Selatan. Memakan masa seminggu dua perjalanan dengan basikal secara santai.

Felix cadangkan kepada saya untuk mengembara ke Jeonju. Kota ini merupakan salah satu kota tradisional di Korea. Dari segi pemakaian, gaya hidup, struktur rumah dan makanan sangatlah berbeza dengan arus perdana Korea kini. Dia sendiri teruja menikmati perjalanan ke sana. Kebanyakkan makanan di sana berasaskan buah dan sayur, berbanding ikan dan makanan laut di Busan.

Selain itu, untuk peminat panorama semulajadi, Gangwon adalah kota terbaik. Banyak gunung dan bukit minta diterokai dengan alam terbentang luas terlihat dari puncak.  Kalian harus singgah ke Gangwon.

Secara amnya, Korean agak selfish. Dalam kata lain, semangat patriotiknya mereka tinggi. Di jalan raya, kereta-kereta Hyundai mendapat tempat utama, tidak ada sebab lain untuk membeli kereta buatan negara jiran; Jepun. Kerana kualiti kenderaannya sendiri amat baik, dan harga di pasaran tempatan adalah murah dan mampu milik.

Korean punya sistem komunikasi sendiri yang menggantikan WhatsApp dan carian internet sendiri tanpa perlu penggunaan Google. Punya alat telekomunikasi sendiri yang jauh lebih canggih seperti LG dan Samsung. Mereka mendokong bahasa Korea sendiri tanpa perlu mengambil bahasa negara penjajah sebagai bahasa kedua. Segalanya cuba dibangunkan sendiri.

Semajunya Korea, seperti apa perkembangan agama Islam di sana? Saya mahu ke sana untuk melihat perkembangan Islam di sana. Felix tidak merasa perlu untuk berpegang kepada agama. Tapi tika saya bertanya tentang kadar penceraian di sana, ada temannya berpisah setelah berumah tangga selama 3 bulan. Kadar pencerian pada generasi Felix semakin meruncing berbanding generasi emak dan bapaknya.

Tidakkah Felix melihat, perubahan ini memerlukan jalan penyelesaian iaitu agama. Urusan rumah tangga tidak hanya tergantung kepada kepercayaan terhadap diri masing-masing serta pengajian moral yang selama ini mereka pelajari dan amalkan. Semua terkumpul dalam satu jalan, iaitu jalan agama.

Korea terbahagi kepada penganut Kristian, Katolik dan Budha, selebihnya adalah penganut Islam dan ajaran tertentu. Kristian dan Katolik dikatakan berbeza antara satu sama lain, juga berbeza dengan anutan di Amerika.

Misalnya lagi, kalau ada seorang penganut Kristian mendatangi majlis pengkebumian penganut Budha, dia tidak perlu sujud kepada si mati seperti mana orang Budha. Berdiri dan menundukkan sedikit kepala sudah memadai. Felix juga beritahu saya, kalau acara pernikahan, Korean lebih cenderung mengikuti budaya Amerika. Menikah di gereja sama ada dalam pakaian moden Amerika ataupun tradisi Korea.

Felix tidak pernah menjelajah tanah Asia dengan basikal. Cuma sekali ke Thailand bersama keluarga dan urusan kerja di Jepun. Dia banyak mengembara di benua Amerika dan Eropah. Bererti, ini pertama kali dia menjejak tanah Islam setelah mendarat di Singapura. Semua hal yang terlihat sepanjang pengembaraan begitu mengujakan dan ingin dicuba.

Dia bermalam di rumah saya. Seronok mandi dengan gayung dan air yang sejuk begitu menyegarkan badannya. Terhibur dengan segala macam bunyi suara katak, cengkerik, burung dan monyet. Satu persatu kuih tradisional dicuba makan, kamera tak pernah lekang dari lehernya.

Dia bertanya tentang solat 5 waktu. Dia faham, Muslim wajib melakukan solat 5 waktu pada bila-bila masa. Saya menjelaskan kepadanya satu per satu. Mukanya yang naïf dan teringin sekali mengetahui lebih lanjut tentang Islam buat saya semangat berkongsi dengannya. Dia mula tahu pada umur berapa, solat diajarkan kepada anak-anak, pada waktu bila solat perlu didirikan berdasarkan kedudukan matahari. Berbeza waktu solat antara negara yang terletak di garisan Khatulistiwa dan negara 4 musim.

Saat bila wanita tidak dizinkan solat atas sebab tertentu dan setiap solat mempunyai tempoh masa tertentu untuk dilaksanakan, namun digalakkan untuk solat pada awal waktu. Yang paling penting, dia tahu mengapa Muslim mendirikan solat. Dan impak kepada fizikal dan rohani individu yang menjaga solat.

Moga Allah membuka pintu hatinya kembali kepada fitrah Islam.



No comments:

Post a Comment